Khamis, 22 Februari 2018 | 12:01pm

Pos Aviation sedia khidmat katering Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd terus mempelbagaikan perkhidmatannya apabila anak syarikatnya, Pos Aviation Sdn Bhd dilantik penyedia katering perkhidmatan pesawat berbadan lebar baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB), A350 bagi laluan Kuala Lumpur-London.

Pos Aviation, yang sebelum ini dikenali sebagai KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS) menyediakan perkhidmatan penghantaran pos seperti mel biasa, kurier, pos ekspres dan bungkusan.

MAB berkata, ia komited untuk memberikan produk berkualiti kepada penumpangnya.

"Pelantikan katering baharu untuk laluan London bagi pesawat A350 membolehkan kami memberi pilihan kepada pelanggan, sambil menyediakan kesinambungan perniagaan dan pengurusan risiko yang lebih baik," katanya kepada NSTP.

Katering utama MAB, Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd, pula terus memenuhi keperluan dalam pesawat syarikat penerbangan nasional itu untuk sektor lain termasuk pesawat A380 bagi laluan London-Kuala Lumpur.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, ketika ini, ia mempunyai dua penerbangan harian ke London daripada KL, menggunakan A350 dan A380.

Pos Aviation yang enggan mengulas lanjut apabila dihubungi, berkata butiran lanjut kontrak adalah sulit dan rahsia.

Syarikat itu ketika ini menyediakan katering untuk syarikat penerbangan seperti Air China, Bangkok Airways, Etihad Airways, Royal Dutch Airlines KLM, Qatar Airways dan Saudi Arabian Airlines.

Berdasarkan laman web Pos Aviation, syarikat itu mempunyai pasukan tukang masak berpengalaman yang bekerjasama rapat dengan pelanggan penerbangan untuk menghasilkan masakan asli Malaysia dan antarabangsa.

"Kami bangga dengan katering kami bagi Kelas Pertama dan Perniagaan, Sewaan Khas VVIP sehingga perkhidmatan jet peribadi.

"Kemudahan kami direka dan ditempatkan secara strategik untuk memastikan aliran operasi lancar yang memberikan prestasi tepat pada masa kepada pelanggan kami," katanya.

Menu kelas perniagaan bagi sektor KL-London A350 termasuk daging sos lada hitam yang dihidangkan dengan nasi goreng telur dan pak choy; ikan halibut goreng dengan mentega "wakame" dan pasta dakwat sotong dengan tomato ceri, daun bawang dan ketumbar; serta beriani ayam berlauk kari kacang pis, kubis bunga dan lada, yang dihiasi dengan bawang segar, kacang gajus dan mint raita.

Menu lain termasuk mee telur dengan hirisan ayam, udang, tauhu, bebola ikan dan sayur-sayuran Asia serta sandwich - "croque monsieur" dengan tomato dan keju brie.

MAB menerima pesawat pertama A350 pada akhir November tahun lalu, pajakan daripada pemajak pesawat yang berpangkalan di Los Angeles, Air Lease Corp di bawah program 12 tahun.

Pesawat A350 memulakan penerbangan sulungnya ke London pada pertengahan Januari tahun ini.

A350 mempunyai jumlah kapasiti 286 tempat duduk, merangkumi empat dalam Kelas Pertama, 35 Kelas Perniagaan dan 247 Kelas Ekonomi.

Ketika ini, MAB menerima tiga unit A350 dan baki unit lagi akan dihantar menjelang Jun tahun ini.

MAB berkata, empat pesawat A350 akan digunakan bagi penerbangan London-KL, menggantikan A380.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional itu belum menentukan destinasi bagi dua lagi pesawat A350.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Brahim's SATS Food Services, Ainul Hasnizam Abu Hassan gagal dihubungi.

Berita Harian X