Isnin, 19 Februari 2018 | 1:25pm

Maybank IB kekalkan saranan beli ke atas Sunway Bhd

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan saranan 'beli' ke atas Sunway Bhd selepas ia memeterai projek usaha sama baharu untuk membangunkan semula Brookvale Park di Singapura.

Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata, projek​ ​​​​​​pembangunan semula 30 peratus​​​​​​ ​milik Sunway itu akan mula menyumbang kepada keuntungan Sunway dari 2019 dan seterusnya, selain dijangka meningkatkan nilai aset bersih direalisasikan (RNAV) bagi setiap satu saham sebanyak satu sen.

Pada Khamis, Sunway dan rakan kongsi usaha samanya Hoi Hup Realty Pte Ltd, menandatangani Perjanjian Jual dan Beli Terkumpul dengan pemilik majoriti terkumpul Brookvale Park untuk​​​​​​​ membeli Brookvale Park pada SG$530.0 juta.

Syarikat usaha sama yang dicadangkan akan ditubuhkan, dengan Sunway memiliki 30 peratus​​​​​​​ kepentingan dalam projek itu manakala bakinya diagihkan antara Hoi Hup (60 peratus) dan S C Wong Pte Ltd (10 peratus).

Maybank Investment berkata, lebih 80 peratus pemilik sudah bersetuju bagi penjualan itu, tertakluk kepada beberapa syarat yang dipenuhi, termasuk perintah jualan oleh Lembaga Hak Milik Strata dan mahkamah.

Brookvale Park adalah pembangunan di kawasan pegangan bebas 999 tahun di Clementi yang terletak berhampiran Holland Village dan Hutan Simpan Bukit Timah selain berdekatan dengan institusi pendidikan​​​​​​ tertiari dan antarabangsa.

Ia siap dibangunkan pada 1983 dan merangkumi 160 unit pangsapuri kediaman persendirian.

Sebaik sahaja pembelian itu diselesaikan, Brookvale Park akan dibangunkan semula​​​​​​​ kepada pembangunan kediaman baharu dengan nisbah plot dibenarkan 1.6 kali, sekali gus menjadikan kawasan lantai kasar keseluruhan sebanyak 656,494 kaki persegi.

Maybank IB mengekalkan harga sasaran 12 bulan pada RM1.97 sesaham.

Setakat 10 pagi, saham Sunway meningkat lima sen kepada RM1.70 dengan 372,800 unit diniagakan.

-BERNAMA

Berita Harian X