Khamis, 8 Februari 2018 | 5:05pm
PELANCARAN produk baru Celcom,"Celcom First Lifestyle" disempurnakan oleh Azwan Khan Osman Khan (tengah) bersama Ketua Pemasaran (Prabayar dan Pascabayar) Celcom Axiata Berhad, Daren Victor (kiri) & Ketua Penetapan Harga dan Pemasaran Runcit, Celcom Axiata Berhad, Zuwairi Zakaria (kanan).- Foto Khairul Azhar Ahmad

Celcom perkenal pelan pasca bayar baharu

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan pelan pasca bayar terbaharu yang menawarkan lebih banyak keistimewaan gaya hidup kepada pelanggan termasuk tiket penerbangan pergi balik percuma ke mana-mana destinasi negara Asean.

Pelanggan Celcom First berpeluang untuk memilih salah satu daripada dua keistimewaan iaitu keistimewaan sekali untuk tiket penerbangan atau keistimewaan bulanan yang menggabungkan dua keistimewaan gaya hidup yang ditawarkan rakan niaga Celcom.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaannya, Azwan Khan Osman Khan berkata pelanggan Celcom First bukan saja menikmati data malah pelbagai keistimewaan gaya hidup yang memuaskan.

"Kami sentiasa ingin memastikan pelanggan memperoleh pengalaman terbaik daripada Celcom tanpa mengira sama ada melalui ruang digital atau aktiviti gaya hidup harian mereka," katanya pada pelancaran Celcom First Lifestyle di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna yang melanggan First Platinum pada harga RM148 (60GB) atau First Platinum Plus pada RM188 (100GB) selama 12 bulan akan menikmati keistimewaan baru secara automatik.

Menurutnya, keistimewaan itu membabitkan perayauan data percuma dan panggilan serta pesanan ringkas (SMS) tanpa had ke sembilan negara Asean (First Platinum Plus), data perayauan percuma ke sembilan negara ASEAN (First Platinum) dan AnydayGB percuma.

"Mereka juga boleh menikmati akses premium Iflix dan Yonder Music tanpa had secara percuma dan salah satu daripada keistimewaan gaya hidup yang ditawarkan," katanya.

Azwan berkata, pihaknya turut menawarkan keistimewaan gaya hidup untuk pengguna yang melanggan selama 12 bulan dengan First Gold pada harga RM80 (20GB), First Gold Plus pada RM98 (40GB) atau First Gold Supreme pada RM128 (RM50GB).

"Mereka juga akan menikmati keistimewaan secara automatik seperti AnydayGB percuma, akses premium Iflix dan Yonder Music tanpa had secara percuma dan salah satu daripada dua keistimewaan yang ditawarkan," katanya.

Berita Harian X