Khamis, 8 Februari 2018 | 12:49pm
Ketua Eksekutif Michael Kors Holdings Ltd (Kors), John Idol.

Strategi harga penuh lonjak jualan Michael Kors

BENGALURU, India: Michael Kors Holdings Ltd (Kors) mencatatkan jualan suku tahunan yang kukuh dan meningkatkan unjuran pendapatan tahunannya.

Ia menunjukkan kejayaan bagi pereka barangan mewah itu dalam usaha merancakkan semula jualan dan prestij jenamanya dengan menawarkan promosi yang terhad.

Saham peruncit yang naik 3.7 peratus pada tengah hari Rabu, merosot selepas naik sebanyak 6.6 peratus ke paras tertinggi tiga tahun AS$69.75 (RM273.82).

Sebagai antara jenama mewah yang berpatutan, Kors memenuhi permintaan pasaran dengan menawarkan produknya lebih meluas dan menerusi promosi besar-besaran.

Bagaimanapun, ia membawa kepada kejatuhan jenama berkenaan sekali gus menyebabkan penyusutan pendapatan tahunan.

Situasi itu memaksa Kors menyusun semula strategi jualannya.

Tahun lalu, Kors memanggil semula produknya ke gedung beli-belah, menyusun semula barisan produknya, menutup premis yang tidak memuaskan dan menawarkan diskaun terhad dalam talian.

Langkah ini membawa kepada peningkatan pendapatan keseluruhan Kors bagi suku kedua berturut-turut, manakala jualan bagi stor yang sama pada suku hanya jatuh sedikit berbanding jangkaan awal.

"Oleh itu, kami mampu menjual produk pada harga yang lebih tinggi," kata Ketua Eksekutifnya, John Idol.

"Pakaian paling laris kami ialah AS$395 (RM1,550) Maksud saya, itu benar-benar satu perkara yang luar biasa."

Jualan sama kedai Kors jatuh 3.2 peratus pada suku ketiga berakhir 30 Disember, lebih rendah daripada unjuran penganalisis iaitu penurunan 6.8 peratus, menurut Thomson Reuters.

Kors menjangkakan jualan kedai sama akan merosot kepada satu digit pada suku ini berdasarkan inventori yang kukuh.

Idol berkata, apabila promosi berakhir pada suku berikutnya, Kors akan memperkenalkan produk yang lebih segar dan lebih mahal sempena musim luruh. - Reuters

Berita Harian X