Rabu, 7 Februari 2018 | 1:45pm
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

KWAP sasar peningkatan 70 peratus saiz dana ESG

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP menyasarkan peningkatan 70 peratus dalam saiz dana pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata pada masa ini, saiz dana pelaburan ESG KWAP merekodkan 50 peratus hingga 60 peratus dan ia akan ditingkatkan sehingga 70 peratus bergantung kepada kecairan ekosistem pasaran.

"Buat masa ini, tidak ada satu jangka masa yang boleh ditetapkan bagi mencapai sasaran itu, tetapi kami optimis untuk memperbanyakkan lagi pelaburan di dalam saham atau aset berstatus ESG.

"KWAP memulakan mandat ESG pada 2014 dan sehingga kini portfolio berkenaan mencatatkan prestasi memberangsangkan," katanya pada majlis mengumumkan kerjasama KWAP dan Principles for Responsible Investment (PRI), badan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

KWAP menjadi penandatangan untuk PRI, sekali gus menjadi dana pencen pertama di Malaysia yang bergabung dengan rangkaian pembuat dasar global bebas itu bagi membina sistem kewangan dan ekonomi lebih mapan menerusi asas pelaburan yang bertanggungjawab pada jangka panjang.

Wan Kamaruzaman berkata, fokus KWAP adalah untuk melaksanakan amalan ESG yang kukuh bertujuan bukan hanya meningkatkan keselamatan sosial untuk jangka panjang kepada pesara, tetapi juga tanggungjawab terhadap generasi akan datang.

"Sebagai dana pencen pertama di Malaysia dalam menunaikan janji terhadap PRI, kami berusaha untuk meneruskan komitmen terhadap pelaburan lebih bertanggungjawab," katanya.

Sebagai penandatangan PRI, KWAP akan terus komited dalam menyokong dan menggalakkan penggunaan amalan ESG, dengan menggabungkan langkah untuk memfokuskan kepada pelabur, antaranya melaporkan aktiviti pelaburan secara terbuka selaras dengan enam prinsip PRI.

KWAP kini mempunyai RM125 bilion aset di bawah pengurusan (AUM), termasuk RM2 bilion diperuntukkan untuk ESG.

Berita Harian X