Isnin, 5 Februari 2018 | 12:40pm
BRIAND Greer.- Foto Zulfadhli Zulkifli

Honeywell dapat projek Menara Ikonik PNB 118

KUALA LUMPUR: Honeywell, syarikat terkemuka dunia dianugerahkan projek bernilai AS$14 juta (RM54.55 juta) bagi membekalkan teknologi bangunan pintar seperti sistem keselamatan dan pengurusan bangunan lengkap untuk Menara Ikonik PNB 118.

Penyelesaian integrasi penuh Honeywell akan memainkan peranan penting untuk memastikan keselesaan, keselamatan dan keselamatan bangunan setinggi 118 tingkat itu.

Presiden Honeywell ASEAN, Briand Greer, berkata pihaknya teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan PNB Merdeka Ventures dalam projek mega ini.

"Honeywell mempunyai rekod pencapaian dalam menyediakan penyelesaian bangunan terhubung untuk lebih 10 juta bangunan di seluruh dunia.

"Di Asia, kami komited untuk membawa bersama pengalaman, tenaga pakar, dan teknologi yang menjadikan bangunan menjadi aset lebih pintar dan produktif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Honeywell berkata, projek pembekalan teknologi itu bermula pada akhir 2017 dan dijangka siap menjelang akhir 2020.

"Ia termasuk kerja pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem sambungan bangunan yang dibangunkan Honeywell.

"Teknologi yang digunakan antara lain termasuk Sistem Pengurusan Bangunan Terbuka 'Honeywell ComfortPoint'; Sistem Enterprise Buildings Integrator (EBI) R500 Honeywell; Digital Video Manager (DVM) R620, dan sistem akses kawalan Temaline," katanya.

Syarikat itu berkata, penyelesaian Honeywell akan membantu menyediakan operasi pintar bagi membuat keputusan lebih baik, memperbaiki tindak balas nyata, mengurangkan risiko, operasi dan kos kitaran hayat selain mengoptimumkan prestasi keseluruhan bangunan.

Mercu tanda ikonik yang terletak dalam pembangunan Warisan Merdeka itu dijangka menjadi bangunan kelima tertinggi di dunia apabila siap sepenuhnya pada 2020.

PNB 118 dimiliki oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Turner International Sdn Bhd dilantik sebagai pengurus projek bagi pembangunan bercampur itu.

Dengan kepakaran dalam projek mercu tanda di seluruh dunia seperti Menara Lotte (Korea) dan Marina Bay Sands (Singapura), Honeywell menyokong integrasi pelbagai jenis teknologi bagi membantu pelanggan mengambil pendekatan holistik terhadap pengurusan sistem, seterusnya membantu pengurus bangunan membuat keputusan perniagaan yang terbaik.

Projek berkenaan mengetengahkan teknologi terkemuka Honeywell dalam bidang bangunan terhubung.

Berita Harian X