Khamis, 25 Januari 2018 | 5:26pm
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad, Michael Kuehner (kiri) bertukar dokumen dengan CEO Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail pada majlis MOU di antara Celcom Axiata Berhad dengan Malaysia Airlines Berhad di Menara Celcom, Jalan Raja Abdul Aziz. - Foto Nik Hariff Hassan
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad, Michael Kuehner (kiri) bertukar dokumen dengan CEO Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail pada majlis MOU di antara Celcom Axiata Berhad dengan Malaysia Airlines Berhad di Menara Celcom, Jalan Raja Abdul Aziz. - Foto Nik Hariff Hassan

Penggabungan TM, Axiata wajar

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Axiata Group Bhd (Axiata) dilihat sebagai tindakan yang 'masuk akal' untuk dilaksanakan dua syarikat gergasi telekomunikasi itu, namun bergantung kepada pemegang saham untuk membuat keputusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner, berkata dua syarikat konglomerat itu adalah gergasi telekomunikasi yang mengendalikan jaringan serta rangkaian telekomunikasi yang sangat besar di Malaysia.

"Cadangan ini perlu dikekalkan kerana kami bayangkan ia berupaya untuk mewujudkan lebih banyak sinergi.

"Melalui penggabungan ini, kita dapat melihat kekuatan dari segi skala iaitu bahagian penyampaian perkhidmatan seperti aset jaringan sambungan telekomunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Celcom dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.

Kerjasama antara Celcom dan MAB itu akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Kuehner berkata, penggabungan Axiata-TM dilihat sebagai pelengkap kepada perkhidmatan mudah alih Axiata yang akan disepadukan dengan operasi talian tetap TM.

Beliau berkata, ia membolehkannya mendapat bahagian pasaran daripada peserta industri seperti Maxis Bhd, Digi.com Bhd dan U Mobile, di samping mengiktiraf kenaikan pendapatan untuk keberkesanan kos.

Sementara itu, Kuehner berkata, kerjasama di antara Celcom dan MAB bakal memberikan manfaat signifikan dalam pelbagai bentuk bagi kedua-dua syarikat seperti ganjaran Enrich, diskaun tiket kapal terbang dan pelan perayauan antarabangsa.

"Usaha sama ini juga bukti keazaman dan komitmen syarikat dalam menambah baik perkhidmatan serta pengalaman digital kepada semua pelanggan Celcom dan kakitangan MAB.

"Pelanggan Celcom dan MAB bakal menikmati pengalaman hebat melalui tawaran perkhidmatan digital dan ganjaran serba inovatif, seterusnya memperkaya gaya hidup kembara mereka," katanya.

Ditanya mengenai kehadiran penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang baharu, beliau berkata, persaingan mewujudkan persekitaran yang sihat dan yakin ia bukan menjadi kebimbangan kepada pihaknya.

Katanya, melalui persaingan, pihaknya mampu untuk terus menjadi lebih baik, malah memberi manfaat kepada pelanggan setianya.

Berita Harian X