Rabu, 24 Januari 2018 | 12:36pm
SUHAIMI Ilias.- Foto Hafiz Sohaimi
SUHAIMI Ilias.- Foto Hafiz Sohaimi

TPP tetap menarik tanpa penyertaan AS

KUALA LUMPUR: Langkah 11 negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) meneruskan perjanjian itu tanpa Amerika Syarikat (AS) masih memberi manfaat positif kepada eksport dan pelaburan negara.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias, berkata berdasarkan rekod, hampir 65 peratus eksport negara disumbangkan negara yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

Beliau berkata, lazimnya menerusi perjanjian perdagangan, negara mempunyai akses pasaran yang lebih besar.

"Meskipun tanpa AS, pasaran 11 negara TPP kekal menyediakan akses pasaran yang besar kepada negara.

"Selain meningkatkan akses pasaran, perjanjian perdagangan juga turut memberi kesan limpahan kepada pelaburan," katanya ketika ditemui di Invest Malaysia 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan 11 negara TPP untuk meneruskan perjanjian itu tanpa AS.

Sebelas negara Asia-Pasifik hari ini bersetuju untuk merealisasikan penubuhan TPP, kata pegawai Jepun, selepas negara terbabit menyemak semula cadangan penubuhan pakatan perdagangan itu ketika AS menarik diri.

"Satu kenyataan persetujuan oleh 11 TPP akhirnya dicapai dan 11 negara terbabit bersetuju meneruskan persediaan untuk memeterainya (penubuhan TPP)," kata Menteri Ekonomi, Toshimitsu Motegi kepada pemberita selepas mesyuarat rasmi di Tokyo.

Persetujuan dicapai susulan mesyuarat dua hari yang dihadiri wakil perunding daripada 11 negara TPP di Tokyo.

Berita Harian X