Rabu, 10 Januari 2018 | 3:58pm
WING K Lee dan Ketua Pegawai Operasi YTL Communications Sdn Bhd, Ali Tabassi (kiri) ketika taklimat kepada media di Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
WING K Lee dan Ketua Pegawai Operasi YTL Communications Sdn Bhd, Ali Tabassi (kiri) ketika taklimat kepada media di Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

YTL komited tawar rangkaian Internet berkualiti tinggi

KUALA LUMPUR: YTL Communications Sdn Bhd komited untuk terus melabur dalam sektor telekomunikasi tempatan bagi mengukuhkan rangkaian dan perkhidmatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Wing K Lee, berkata sejak YES dilancarkan pada 2010, YTL Communications optimis untuk mengurangkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar, dengan menawarkan rangkaian 4G LTE pada kualiti terbaik tanpa batasan.

"Sebagai peneraju rangkaian liputan evolusi jangka panjang (LTE) generasi keempat (4G), kami akan terus membawakan pengalaman hebat untuk pelanggan bagi membuktikan komitmen berterusan syarikat.

"Tahun ini, YTL Communications menjanjikan inovasi produk baharu dan rangkaian yang lebih berkualiti kepada pengguna dalam usaha menjadikan YES sebagai operator 4G+ terbaik untuk semua," katanya ketika sesi taklimat di sini, hari ini.

Lee berkata, YES dinobatkan sebagai pendahulu dalam kategori kelajuan muat turun keseluruhan, sekali gus mengatasi syarikat telekomunikasi tempatan yang lain dalam kebolehsediaan isyarat 4G LTE

Menurut kajian yang dijalankan OpenSignal, Inc menerusi laporan 'State of Mobile Networks: Malaysia", isyarat 4G YES menawarkan 93.2 peratus kejelasan, mendahului pesaingnya sebanyak 13 peratus.

Katanya, dari aspek kelajuan muat turun keseluruhan, YES menjadi satu-satunya operator yang melepasi purata kelajuan muat turun minimum global iaitu 16Mbps dengan mencatatkan 19.3 Mbps.

"Walaupun YES baru melancarkan perkhidmatan YES 4G LTE dan VOLTE (Suara latar LTE) di seluruh negara dalam tempoh 15 bulan lalu, pengiktirafan daripada OpenSignal ini membuktikan kepimpinan 4G YTL Communications, dan komitmennya sebagai jenama 4G yang menitikberatkan penyediaan produk dan perkhidmatan 4G terbaik untuk semua rakyat Malaysia.

"Ketersediaan isyarat 4G dan kelajuan muat turun yang pantas akan menjadi perbezaan utama pada masa hadapan," katanya.

Mengulas lanjut, Lee menjelaskan, YES kini memiliki lebih satu juta pelanggan dan yakin angka itu akan bertambah seiring dengan peningkatan penggunaan peranti yang menyokong liputan 4G dan 5G pada masa hadapan.

INFO

  • YES memenangi Anugerah Perkhidmatan Suara Paling Inovatif di Anugerah Telecom Asia 2017
  • Laporan itu membandingkan rangkaian Celcom, Maxis, Digi, U Mobile dan Webe
Berita Harian X