Isnin, 8 Januari 2018 | 9:27pm

Touch 'n Go bakal tawar e-dompet mudah alih

KUALA LUMPUR: Anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, Touch 'n Go Sdn Bhd (TNGSB), telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

Perkhidmatan yang menggunakan platform teknologi Alipay, akan diuruskan oleh TNG Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial), kata CIMB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial pada masa sekarang menyokong lebih daripada 450 juta pengguna di China.

E-dompet mudah alih itu akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan platform yang serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

"Dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pembentukan ekosistem pembayaran digital yang kukuh dan selamat, kami amat teruja selepas menerima kelulusan bagi e-dompet ini.

"Pada hari ini, Touch 'n Go adalah peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini adalah penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran," katanya.

TNGSB memegang hak harta intelek sistem Touch 'n Go, yang juga adalah piawaian de facto kepada kad pintar tanpa sentuhan di Malaysia.

Syarikat terbabit dimiliki oleh CIMB, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X