Ahad, 17 Disember 2017 | 10:30pm
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

KWAP beli 45 peratus ekuiti Vortex Solar

SINGAPURA: Vortex, antara platform pelaburan tenaga boleh diperbaharui terkemuka Eropah, menjual 45 peratus kepentingan ekuiti dalam Vortex Solar Investments S.a.r.l kepada dana pencen kedua terbesar Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dalam urus niaga bernilai 67.5 juta pound (RM368.5 juta).

Vortex, yang diuruskan oleh EFG Hermes, akan terus mengekalkan pegangan saham jangka panjang sebanyak 5.0 peratus dalam Vortex Solar, selepas memperoleh aset pengeluar PV solar berkuasa 365 MW di United Kingdom daripada TerraForm Power pada Januari 2017.

Langkah ini seiring dengan strategi Vortex untuk meninjau pelabur utama dari seluruh dunia untuk mempelbagaikan asas rakan kongsinya.

"Transaksi ini menunjukkan keupayaan kami untuk menggunakan lembaran imbangan kumpulan dengan berkesan di bawah strategi perbankan saudagar kami untuk menyokong perniagaan teras kami dalam menyampaikan sasaran pelaburannya, mewujudkan pertumbuhan aset di bawah pengurusan (AUM) dan memberikan pulangan segera serta jangka panjang untuk pemegang saham kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif EFG Hermes Group, Karim Awad, dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan memuktamadkan penjualan kepada KWAP, kami berjaya melengkapkan kitaran pengunderaitan bagi Vortex Solar dalam masa kurang daripada 12 bulan," kata Karim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata perkongsian dengan Vortex menunjukkan komitmen KWAP terhadap kelestarian alam sekitar dalam pelaburannya.

"Ini menandakan pelaburan langsung pertama kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, yang secara strategiknya meletakkan KWAP sebagai pelabur bersama kewangan pilihan untuk pengembangan industri ini.

"Selain itu, sebagai pelabur, kami berhasrat untuk meningkatkan pendedahan kami dalam aset sebenar, dan tenaga boleh diperbaharu adalah antara sektor yang paling aktif dalam kelas aset infrastruktur bagi aliran urus niaga, di peringkat global.

"Kami melihat ini sebagai peluang yang akan memberikan pendapatan pelaburan yang menarik kepada dana di samping menyokong usaha ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) kami," katanya.

Apabila penyelesaian urus niaga berkenaan, pemegangan Vortex Solar akan menjadi 50 peratus Tenaga Nasional Bhd (TNB), 45 peratus KWAP dan 5.0 peratus Vortex.

Urus niaga berkenaan dijangka selesai dalam beberapa minggu yang akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X