Khamis, 14 Disember 2017 | 3:33pm
PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Condor Airlines mula penerbangan Frankfurt-KL 2018

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan syarikat penerbangan Jerman, Condor Airlines akan memulakan perkhidmatan laluan Frankfurt-Kuala Lumpur pada November 2018.

Bagi memudahkan usaha itu, Tourism Malaysia memeterai Memorandum Kerjasama Pemasaran (MoMC) dengan syarikat penerbangan itu di Condor Flugdienst GmbH, Frankfurt pada Rabu lalu.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata ia sekali gus menandakan bermulanya inisiatif pemasaran bersama Condor Airlines dengan memanfaatkan dana promosi ditubuhkan di antara Tourism Malaysia dan Malaysia Airports.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Condor Airlines, Ralf Teckentrup.

Condor Airlines ketika ini beroperasi di 62 destinasi dari beberapa bandar di Jerman termasuk Frankfurt dan Munich.

Badlisham berkata, MAHB akan turut memberi sokongan kepada Condor Airlines dalam semua perkara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Saya mengalu-alukan kehadiran Condor Airlines dalam keluarga KLIA pada November 2018. Saya gembira dengan kemampuan kita untuk memperluaskan lagi kesalinghubungan dari Eropah serta mempertingkatkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau," katanya.

Katanya, kerjasama MAHB dan Tourism Malaysia yang dijalin baru-baru ini adalah penting bagi menarik syarikat penerbangan seperti Condor Airlines untuk memulakan operasinya ke Malaysia.

Condor Airlines memuktamadkan keputusan untuk melancarkan penerbangan sulung ke Malaysia sewaktu acara World Travel Market di London, bulan lalu.

Ia menawarkan perkhidmatan tiga kali seminggu menggunakan pesawat A330-200 yang mampu membawa masuk sebanyak 850 penumpang setiap minggu.

Perkhidmatan itu juga disasarkan menjadi platform bagi meningkatkan jumlah kehadiran penumpang Eropah, khususnya dari Jerman.

Ini berikutan tiada sebarang penerbangan terus di antara Jerman dan Kuala Lumpur sejak Malaysia Airlines dan Lufthansa menamatkan perkhidmatan itu.

Menurut kenyataan itu, MAHB dan Tourism Malaysia juga sentiasa bekerjasama erat menarik syarikat penerbangan Eropah dan kehadiran Condor Airlines dilihat mampu meningkatkan aspek kesalinghubungan dari Eropah ke Malaysia.

Malaysia Airports dan Tourism Malaysia juga sebelum ini turut memuktamadkan satu memorandum persefahaman bagi usaha mempromosi, membangun dan meningkatkan pelancongan ke Malaysia khususnya dari India, China dan Eropah.

Inisiatif pemasaran bersama itu antara lain memerlukan kedua-dua pihak mewujudkan sebuah dana promosi bagi menyokong kempen pemasaran oleh syarikat penerbangan dan rakan industri terbabit.

Malah, usaha itu dilihat tepat pada masanya untuk penerbangan baharu seperti Condor Airlines yang perlu membangunkan aspek promosi pelancongan ke Malaysia, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X