Khamis, 23 November 2017 | 3:56pm

HouzKEY mudahkan proses milik kediaman

KUALA LUMPUR: Maybank lslamic Bhd melancarkan produk HouzKEY, skim inovatif sewa beli hartanah (RTO) pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia memberikan penyelesaian alternatif kepada pembeli rumah pertama dan bagi mereka yang ingin menaik taraf rumah sedia ada.

Skim itu tidak memerlukan bayaran pendahuluan tetapi menawarkan harga pembelian tetap untuk pelanggan.

Produk perintis HouzKEY ini terbuka kepada isi rumah yang berpendapatan minimum RM5,000 dengan ciri khas termasuklah pembayaran sewa rata untuk lima tahun pertama.

Pelanggan kemudian boleh memilih untuk membeli hartanah itu pada kadar yang dipersetujui, teruskan menyewa dengan kenaikan kadar sewaan sebanyak dua peratus setahun atau menamatkan perjanjian sewaan berkenaan tanpa sebarang komitmen.

Permohonan HouzKEY dibuka kepada pekerja Kumpulan Maybank bermula hari ini dan kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada suku pertama 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank sentiasa menawarkan produk dengan ciri-ciri yang menarik dan tawaran berharga kepada pelanggan.

"HouzKEY menawarkan jalan alternatif kepada pemilikan rumah," katanya pada majlis pelancaran produk itu di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Johari Abdul Ghani.

Produk RTO Maybank Islamic itu adalah berdasarkan kepada konsep Ijarah, iaitu prinsip Syariah diguna pakai untuk produk berasaskan sewaan yang memberi pilihan kepada pelanggan membeli hartanah terbabit selepas 12 bulan sewaan.

Ia juga produk RTO pertama di negara ini yang diperkenalkan sepenuhnya melalui platform digital dengan permohonan dan penyerahan dokumen sokongan dibuat melalui dalam talian.

Sebagai permulaan, sasaran pasaran bagi produk ini adalah golongan berpendapatan sederhana di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor kerana cabaran yang dihadapi mereka terutama tidak mempunyai kemampuan untuk membayar jumlah bayaran pendahuluan pinjaman perumahan sebanyak 10 peratus.

Projek perumahan berkenaan dibangunkan oleh beberapa pemaju perumahan termasuk Ecoworld Bhd, SP Setia, Mah Sing Properties, Gamuda Properties dan Sime Darby Property.

Berita Harian X