Selasa, 31 Oktober 2017 | 9:37am

Samsung Electric catat keuntungan tertinggi

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd akan membayar dividen sekitar 29 trilion won bagi tempoh 2018-2020 susulan catatan rekod keuntungan operasi tertinggi bagi tempoh tiga bulan berakhir September, dilonjakkan pendapatan yang diraih daripada perniagaan cip memori.

Pengeluar cip memori, telefon pintar dan televisyen terbesar dunia itu berkata, cip memori 'supercycle' mendapat permintaan tinggi dan dijangka kekal tinggi berikutan pelayan serta peranti mudah alih memerlukan keupayaan pemprosesan lebih tinggi.

"Bagi 2018, syarikat menjangka pendapatan berkembang terutama daripada perniagaan komponen, berikutan persekitaran dalam pasaran memori dijangka kekal baik dan syarikat menjangka peningkatan dalam jualan panel anjal OLED," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Samsung berada di landasan kukuh untuk mencatat rekod keuntungan tertinggi dalam tahun kewangan semasa.

Penganalisis menjangkakan syarikat itu bakal mencatat prestasi suku kewangan keempat yang lebih kukuh.

Keuntungan operasi pada suku dikaji meningkat hampir tiga kali ganda berbanding suku sama tahun sebelumnya, kepada 14.5 trilion won (AS$12.91 bilion).

Pendapatan melonjak 29.8 peratus kepada 62 trilion won, sejajar anggaran sebelum ini.

Segmen perniagaan cip meraih pendapatan terbesar berikutan ia mencatat rekod keuntungan operasi terbesar 10 trilion won, berbanding 3.4 trilion won suku sama sebelumnya.

Permintaan kukuh terhadap peranti lebih berkuasa dan bekalan terhad menolak naik harga bagi kedua-dua cip memori DRAM dan NAND, sekali gus meningkatkan lagi marjin keuntungan. - Reuters

Berita Harian X