Jumaat, 20 Oktober 2017 | 4:45pm

Singapore Airlines muktamad beli 39 pesawat Boeing

Singapore Airlines muktamad beli 39 pesawat Boeing

SINGAPURA: Singapore Airlines Ltd akan memuktamadkan tempahan 39 pesawat Boeing bernilai AS$13.8 bilion (RM58.33 bilion) apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melawat Washington DC minggu depan.

Syarikat penerbangan itu pada Februari lalu berkata, ia akan menempah 20 pesawat jenis 777-9 and 19 pesawat jenis 787-10 sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memodenkan angkatan pesawatnya bagi tempoh sedekad akan datang.

Namun perjanjian itu belum dimuktamadkan dan sudah dimasukkan di dalam kontrak pesanan Boeing sebagai tempahan daripada Singapore Airlines.

Perjanjian itu dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Airbus SE yang sedang giat bersaing melawan Boeing dalam pasaran berbadan lebar.

Airbus dilihat ketinggalan jauh berbanding Boeing dari segi tempahan yang diterima dalam sembilan bulan pertama tahun ini, dengan hanya menerima tempahan sebanyak 271 unit setakat akhir September lalu berbanding Boeing yang menerima 498 unit tempahan.

Hsien Loong berkata, kepada CNBC semalam yang beliau berharap satu perjanjian akan ditandatangani dengan Boeing bagi membeli lebih banyak pesawat untuk Singapore Airlines semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) dari 22 Oktober hingga 26 Oktober ini.

Butiran lanjut mengenai pembelian itu akan didedahkan selepas majlis menandatangani itu yang akan diadakan di Washington berlangsung, kata jurucakap syarikat penerbangan terbabit.

Singapore Airlines pada Februari lalu berkata, ia juga mempunyai pilihan untuk menempah enam lagi pesawat bagi setiap jenis.

Boeing pada Jun lalu menerima tempahan bagi 20 pesawat 777X dan 19 pesawat 787-10 daripada pelanggan yang tidak dapat dikenal pasti, menjadikannya terdapat kemungkinan bahawa pesawat Singapore Airlines sudah pun termasuk di dalam tempahan pada tahun ini.

Boeing enggan mengulas perkara itu.

Singapore Airlines melabur untuk mendapatkan pesawat yang moden dan cekap bahan api sambil pada masa sama melaksanakan semakan semula strategik bagi membantu mengurangkan kos, di tengah-tengah meningkatnya persaingan daripada syarikat penerbangan China dan Asia Barat. - Reuters

Berita Harian X