Selasa, 17 Oktober 2017 | 11:59am
DATUK Ir Dr Hamim Samuri (tengah) menyaksikan penyerahan ikrar menjaga alam sekitar pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAS dan TNB Sebagai Strategik Alam Sekitar sempena Majlis Perasmian Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2017.- Foto BERNAMA
DATUK Ir Dr Hamim Samuri (tengah) menyaksikan penyerahan ikrar menjaga alam sekitar pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAS dan TNB Sebagai Strategik Alam Sekitar sempena Majlis Perasmian Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2017.- Foto BERNAMA

TNB jadi rakan strategik JAS

PORT DICKSON: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperkukuhkan komitmennya dalam usaha memelihara alam semulajadi dengan menjalin kerjasama sebagai rakan strategik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melaksanakan pematuhan kendiri dalam pengurusan alam sekitar syarikat atau Guided Self Regulation (GSR).

Justeru, TNB dan Jabatan Alam Sekitar hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung perkara itu.

MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman dan Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri.

Roslan berkata, melalui kerjasama ini, TNB dan JAS akan melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan khidmat nasihat bagi menjayakan program GSR.

"MoU ini berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun dan menjadi pemangkin kepada pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar bertepatan dan selari dengan slogan TNB iaitu "Better Environment, Brighter Future," katanya semasa berucap di Majlis Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara, di sini.

Sementara itu, Ahmad Kamarulnajuib berkata, MoU hari ini menunjukkan TNB komited sebagai badan Government Link Company (GLC) ke arah usaha bersama meningkatkan kesedaran masyarakat dalam kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Komitmen TNB ini diharapkan dapat menarik perhatian syarikat-syarikat GLC lain untuk turut bersama mencapai matlamat pengurusan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, GSR merupakan pendekatan baru JAS dalam mentransformasikan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pendekatan GSR ini merupakan pemangkin bagi mempercepatkan pembudayaan amalan pengurusan kelestarian alam sekitar," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X