Selasa, 3 Oktober 2017 | 6:39pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz. - Foto ihsan pembaca
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz. - Foto ihsan pembaca

TnG lancar e-dompet Jun tahun depan

KUALA LUMPUR: Touch N Go (TnG), penyedia perkhidmatan pembayaran elektronik akan melancarkan perkhidmatan e-dompet pada Jun tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz berkata, perkhidmatan e-dompet itu akan menggunakan teknologi yang dirintis oleh Alipay.

"TnG kini sedang memuktamadkan kelulusan yang diperlukan untuk penyerahan dokumen yang diperlukan. Kami akan melancarkan produk Alipay bersama TnG menjelang pertengahan tahun depan," katanya di luar acara Forum Megatrend Khazanah 2017 (KMF 2017) di sini, hari ini.

Katanya, menerusi kerjasama itu TnG akan membentuk usaha sama ekuiti dengan Ant Financial Services Group, syarikat induk Alipay, untuk menyediakan perkhidmatan e-dompet dan yang berkaitan.

Jutaan rakyat negara ini menggunakan kad TnG untuk membayar tol, tambang bas, tempat letak kereta dan beli-belah.

Pengguna Alipay kini menggunakan perkhidmatan e-dompet di telefon bimbit untuk menempah teksi, hotel, membeli tiket wayang, membayar bil utiliti dan menguruskan kewangan mereka.

Kerjasama itu mengukuhkan perancangan bank kedua terbesar itu untuk menjadi antara peneraju dalam sektor teknologi kewangan di negara ini sementara bagi Ant Financial yang juga syarikat sekutu Alibaba Group Holding Ltd, pelaburan itu adalah yang pertama di Malaysia.

Berita Harian X