Isnin, 2 Oktober 2017 | 5:59pm

Petronas berjaya pasang reaktor EO

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya memasang reaktor Ethylene Oxide (EO) terbesar bagi loji penapis minyaknya yang sedang dibina dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Setiap daripada dua reaktor itu ialah peralatan kejuruteraan yang canggih, berukuran 7.4 meter garis pusat dengan ketinggian 25.5 meter dan seberat 1,202 tan.

Ini menjadikan kedua-duanya antara reaktor EO terbesar di dunia, kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Hadir menyaksikan upacara pemasangan itu ialah Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC), Colin Wong Hee Huing dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering, Choong Heum Park.

Wong berkata, pemasangan reaktor itu menandakan projek PIC akan dapat memulakan penapisan pertamanya dalam suku pertama 2019.

"Pada Ogos 2017, keseluruhan kemajuan pembangunan PIC telah hampir 74.3 peratus siap," katanya yang memuji usaha semua pihak dalam memastikan kerja pemasangan dijalankan dengan cekap dan selamat.

Dibangunkan di kawasan seluas 2,526 hektar dengan pelaburan AS$27 bilion, di tengah-tengah PIC ialah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

RAPID akan mempunyai loji penapisan dengan kapasiti 300,000 tong minyak sehari dan sebuah kompleks petrokimia dengan gabungan kapasiti pengeluaran 3.609 juta tan metrik setahun.

Kemudahan PIC berkaitan termasuklah loji penjanaan dengan 1,220 megawat, terminal pengegasan semula 3.5 juta tan metrik setahun, terminal laut dalam, unit pengasingan udara dan bekalan air mentah. - BERNAMA

Berita Harian X