X
Isnin, 31 Julai 2017 | 3:43pm

Model pertama PROTON-Geely dikeluar tahun depan

SERDANG: PROTON Holdings Bhd dijangka mengeluarkan kereta pertama yang menggunakan teknologi rakan strategiknya, Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) seawal tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata PROTON dan Geely ketika ini sedang memberikan tumpuan terhadap proses penyusunan struktur baharu pengeluaran di kemudahan PROTON terletak di Tanjung Malim bagi memudahkan pemindahan teknologi firma automotif China itu.

Katanya, penyusunan itu penting kerana di bawah pakatan strategik itu, Geely bukan hanya akan memasang model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dibina dengan teknologi kepintaran buatan, Bouye di Tanjung Malim, malah firma China itu juga mahu membangunkan teknologi pemanduan di sebelah kanan di Malaysia.

"Bersama-sama PROTON, mereka mahu meneroka pasaran ASEAN dan kami berharap PROTON dengan teknologi miliki Geely akan dapat menembusi pasaran ASEAN. Dengan jumlah penduduk seramai 620 juta orang, ASEAN adalah sebuah pasaran yang tidak boleh dilupakan.

"Maka, dalam tempoh lima tahun ini, PROTON perlu menyelesaikan keseluruhan struktur ini, manakala kereta pertama PROTON dengan teknologi Geely pula dijangka dikeluarkan lebih awal daripada itu. Bermula sekarang, kerjasama itu sudah pun bermula dan mereka sedang mengambil pekerja baharu.

"Menjelang tahun depan atau awal 2019, kerja (pengeluaran kereta) akan bermula. Saya berharap, menjelang 2018 PROTON akan mula mengeluarkan barisan kereta pertama (dengan teknologi Geely)," katanya kepada media selepas sesi dialog bersama Putra Business School (PBS) anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM dan Persatuan Pelajar Putra di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan model kereta pertama PROTON yang akan menggunakan teknologi dari Geely, yang juga pemilik kepada jenama Volvo dan London Taxy Company.

Terdahulu, Ka Chuan berkata, kerajaan berharap PROTON akan dapat mengeksport kereta dengan teknologi Geely ke pasaran luar dalam tempoh yang terdekat ini.

"Walaupun sebelum ini ada usaha oleh PROTON untuk mengeksport kereta, malangnya ia tidak begitu berjaya. Ini disebabkan PROTON tidak dapat bersaing dengan kereta keluaran negara seperti Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah lain yang mempunyai jenama begitu kuat.

"Justeru, kita tidak boleh berusaha seorang diri. Kita perlu bekerjasama dengan rakan dari seluruh dunia, tidak kira sama ada ia datang dari China, India, AS atau Eropah, kerana itulah hala tuju yang perlu dihadapi," katanya.

Berita Harian X