Rabu, 26 Julai 2017 | 6:51pm
PENGARAH Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Steven Ng. - Foto Rosela Ismail

Mah Sing sasar tambah simpanan tanah

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menyasarkan untuk meningkatkan simpanan tanahnya di Lembah Klang daripada 307 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM20.1 bilion pada masa ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ia sejajar sasaran pemaju hartanah itu untuk membangunkan projek berpotensi, terutama bagi perancangan pelancaran beberapa pembangunan rumah mampu milik di bawah harga RM500,000 menjelang separuh kedua tahun ini.

Pengarah Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Steven Ng, berkata jika kos pengambilan hartanah adalah 10 peratus daripada GDV, syarikat bakal mempunyai projek dengan potensi GDV sehingga RM10 bilion.

"Setakat ini, simpanan tanah kumpulan berjumlah 883 hektar di lokasi perdana di seluruh negara, dengan jumlah GDV dan jualan belum dibil sebanyak RM30 bilion. Ia mampu memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan untuk tempoh lapan tahun.

"Susulan pengambilalihan tanah baru-baru ini dan ditambah dengan simpanan tanah sedia ada, kumpulan berada di landasan kukuh untuk membangunkan projek baharu terutama bagi menangani keperluan rumah mampu milik dalam pasaran," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Ho Hon Sang.

Ng berkata, kumpulan menumpukan tumpuan kawasan di Lembah Klang berikutan kepadatan penduduk yang tinggi, dengan sasaran mampu mencapai sehingga 10 juta menjelang 2020.

"Selain itu, kawasan berkenaan juga mempunyai kemudahan pengangkutan awam lebih baik. Bagaimanapun, kami perlu memastikan pengambilan tanah di kawasan terbabit memenuhi keperluan yang diinginkan seperti lokasi strategik, harga berpatutan dan terma pembayaran lebih baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk menubuhkan badan kawal selia bagi menyelesaikan isu rumah mampu milik di negara ini.

Katanya, langkah itu dijangka boleh membantu menangani masalah penetapan harga rumah mampu milik dalam kalangan pemaju, sekali gus memberi satu tanda aras kepada peserta industri.

"Pada masa ini, tiada definisi yang jelas mengenai perkara itu dan ia akan menimbulkan kekeliruan terhadap pemaju, mahu pun pembeli," katanya.

Info:

  • Mah Sing Group sasar jualan RM1.8 bilion pada tahun ini, dan sudah mencapai RM410.3 juta pada suku pertama 2017.
  • Dianggarkan 70 peratus daripada pencapaian jualan daripada projek di Greater KL.
Berita Harian X