BANTING: Taman Tema Air SplashMania yang dibangunkan Gamuda Land di perbandaran Gamuda Cove merekodkan kunjungan lebih daripada 2,200 orang pelawat pada hari pertama pembukaan rasmi.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata sebagai syarikat yang terbabit dalam perancang bandar, pemaju hartanah itu merancang untuk menjadikan Gamuda Cove bukan sahaja sebagai kawasan kediaman, tetapi merangkumi semua keperluan lain.
Beliau berkata, taman tema air ini adalah tambahan yang hebat dalam senarai tawaran projek pembangunan bandar Gamuda Cove.
"Kami teruja untuk menawarkan layanan 'Where Nature Meets Fun' SplashMania kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa. Dengan sambutan hari pertama, kami menjangkakan taman tema air akan menarik 800,000 pengunjung setahun," katanya dalam satu kenyataan.
Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, Sanjay Nadarajah, berkata sempena pembukaan rasmi Taman Tema Air SplashMania, pengunjung menikmati harga promosi sehingga 31 Mac iaitu RM79 untuk dewasa dan RM63 bagi kanak-kanak.
Beliau berkata, Taman Tema Air SplashMania berkeluasan 18 ekar menawarkan 39 permainan tarikan termasuk 24 permainan gelongsor dan mampu memuatkan 4,000 pengunjung dalam satu masa.
Katanya, antara permainan yang perlu dicuba ialah gelongsor Wild Rush yang menjunam ke dalam kolam sedalam 2.74 meter, selain Shaka Waka iaitu gelongsor gelap yang dihiasi lampu warna-warni dan gelongsor Atlantic VR yang memerlukan pengunjung memakai peranti Realiti Maya (VR) sambil menuruni gelongsor dan ia adalah permainan pertama seumpamanya di Malaysia.
"Taman tema air itu turut dilengkapi dengan laluan sungai sepanjang 400 meter yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung, selain mempunyai kawasan ombak dan jakuzi," katanya.
Gamuda Cove terletak di antara Paya Indah Discovery Wetlands dan Hutan Rizab Kuala Langat.
Mengambil inspirasi daripada persekitaran sekelilingnya, Taman Tema Air SplashMania dipayungi lebih 1,500 pokok termasuk spesies pokok asli dan terancam.
Gamuda Land turut memperkenalkan aplikasi mudah alih GL Play apabila taman air dibuka sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan taman untuk menawarkan kemudahan kepada pengunjung dan pelanggan.