KUALA LUMPUR: Hartanah pada harga mampu milik yang terletak di lokasi strategik masih menjadi tumpuan pembeli rumah meskipun persekitaran pasaran kekal mencabar.
Justeru, Mah Sing Group Bhd terus melaksanakan strategi menawarkan hartanah dalam segmen berkenaan menerusi siri M, yang mendapat sambutan memberangsangkan setiap kali pelancaran baharu.
Ternyata, strategi itu menyokong kumpulan hartanah terkemuka tempatan berkenaan mencatatkan prestasi yang baik pada tahun lalu meskipun berdepan persekitaran mencabar.
Mah Sing Group mencatatkan jualan sebanyak RM1.69 bilion setakat 30 September 2022 dan berada dalam landasan mencapai sasaran jualan 2022 sebanyak RM2 bilion.
Dengan strategi yang memberi tumpuan kepada hartanah kediaman mampu milik dan menyasarkan pembeli rumah pertama membolehkan momentum jualan Mah Sing Group pulih mengatasi paras pandemik.
Justeru, bagi 2023, kumpulan hartanah itu menyasarkan untuk mencatatkan jualan minimum RM2.2 bilion bagi 2023.
"Disokong oleh keyakinan kami terhadap rumah mampu milik siri M dan disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh, kumpulan akan terus mencari dan memperoleh tanah baharu .
"Melangkaui 2023, tinjauan jangka sederhana hingga jangka panjang kekal positif disokong oleh permintaan asas yang kukuh untuk hartanah disebabkan oleh demografi muda.
"Permintaan untuk rumah daripada pembeli rumah pertama harus kekal mampan," kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.
Projek hartanah kediaman mampu milik siri M oleh Mah Sing Group terletak di pelbagai kawasan tumpuan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli rumah.
Antara pelancaran siri M yang mendapat sambutan memberangsangkan ialah Menara B M Astra di Setapak dengan kadar ambilan 95 peratus, Fasa 2 M Senyum Camellia 2 di Salak Tinggi (kadar ambilan 98 peratus) dan Fasa 1A M Panora di Rawang (100 peratus kadar ambilan).
Projek akan datang bagi siri M yang ditawarkan Mah Sing Group ialah M Nova di Kepong, Fasa 3 M Senyum (Phase 3), Fasa 1B M Panora dan Meridin East (Jasmine dan Erica West) di Johor Bahru juga mencatatkan minat pendaftaran memberangsangkan.
Dengan perancangan projek yang kukuh pada harga yang sesuai dengan keadaan pasaran semasa dan mensasarkan segmen pembeli yang tepat, pemaju hartanah itu yakin bahawa walaupun kelembapan ekonomi global, inflasi tinggi dan persekitaran kadar faedah tinggi, momentum pembelian rumah yang kukuh untuk hartanah ditawarkannya dijangka kekal berdaya tahan pada 2023.
Kumpulan hartanah itu yakin dengan prospek pasaran hartanah 2023 dan akan terus memastikan produknya sejajar dengan sentimen pasaran dan trend permintaan.
Sehingga 30 September 2022, jualan belum dibilkan kumpulan itu meningkat kepada RM2.29 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan hartanah masa depan kumpulan untuk tempoh lebih satu tahun.
Menuju ke depan, Mah Sing akan mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan untuk momentum penjanaan pendapatan dan aliran tunai yang berterusan.