Ahad, 2 Oktober 2022 | 2:38pm
Apartmen 650 unit di Mount Austin, Johor
Apartmen 650 unit di Mount Austin, Johor

Ehsan Plant & Property lancar dua hartanah bertingkat tahun depan

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah tempatan, Ehsan Plant & Property Sdn Bhd merancang untuk melancarkan dua projek hartanah bertingkat pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hamid PV Abdu, berkata projek pertama ialah apartmen sebanyak 488 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, satu lagi projek ialah apartmen sebanyak 650 unit di Mount Austin, Johor dengan GDV sebanyak RM300 juta.

"Untuk projek perumahan di Nilai, Ehsan Plant & Property akan membangunkan apartmen servis 30 tingkat. Projek yang dinamakan sebagai Nilai Tower ini akan mempunyai dua menara dan menawarkan sebanyak 488 unit kediaman.

"Nilai Tower dibangunkan di atas tanah seluas 1.012 hektar di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai dan berdekatan pusat beli-belah AEON," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, bagi projek di Mount Astin, pihaknya merancang untuk membangunkan tiga blok apartmen servis setinggi 16 tingkat mengandungi 650 unit dan sembilan kedai.

Katanya, galeri jualan bagi kedua-dua projek ini dijangka akan dibuka pada bulan ini manakala kerja tanah pula akan menyusul selepas itu.

"Kedua-dua projek ini sebenarnya kita rancang mahu lancarkan lebih awal lagi, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kini selepas ekonomi mula kembali rancak, kami merasakan sudah sampai masa yang sesuai untuk lancarkan semula dua projek ini," katanya.

Apartmen servis 30 tingkat di Nilai, Negeri Sembilan
Apartmen servis 30 tingkat di Nilai, Negeri Sembilan

Ditanya perkembangan projek hartanah lain syarikat itu untuk tahun ini, beliau berkata pihaknya telah melancarkan dua projek kediaman bertanah masing-masing di Sungai Petani, Kedah dan Rembau, Negeri Sembilan.

Katanya, bagi projek di Sungai Petani, syarikat telah melancarkan fasa tiga dan empat iaitu masing-masing projek teres setingkat dan berkembar.

"Setakat ini, 50 peratus rumah berkembar kita telah habis terjual dan teres setingkat pula 90 peratus telah dijual dan hanya tinggal tidak sampai lapan unit sahaja lagi.

"Di Rembau pula, kita melancarkan fasa terakhir iaitu rumah teres setingkat di perbandaran Taman Mawar Ehsan yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Ketika ini, fasa satu, teres dua tingkat telah habis dijual, fasa dua (teres dua tingkat) telah 70 peratus dan fasa tiga (teres setingkat) pula habis dijual sepenuhnya," katanya.

Mengenai kesan kenaikan kos bahan binaan, beliau berkata ia sememangnya memberi tekanan kepada pemaju hartanah dan mungkin menyebabkan harga kediaman baharu terpaksa dinaikkan.

"Harga bahan binaan naik mendadak sehingga 30 peratus, tetapi kalau kita tidak teruskan juga projek, ada kemungkinan untuk harga akan terus naik pada masa akan datang menyebabkan pemaju tiada pilihan untuk menaikkan sedikit harga projek mereka.

"Kami juga terpaksa naikkan sedikit harga produk hartanah sekitar lima ke enam peratus. Kalau tidak naikkan harga, [kami bimbang tidak dapat siapkan pembangunan hartanah.

"Yang penting kami dapat siapkan projek, harga (rumah) naik sedikit pun tidak mengapa asalkan (projek) dapat disiapkan dan diserahkan kepada pembeli," katanya.

Berita Harian X