Rabu, 28 September 2022 | 4:00pm
Battersea Power Station
Battersea Power Station

Battersea Power Station sedia untuk dibuka bulan depan

KUALA LUMPUR: Battersea Power Station, yang dimiliki konsortium pelabur Malaysia berjalan lancar untuk dibuka kepada awam pada 14 Oktober ini, dengan dimeriahkan lagi dengan penganjuran 'Festival of Power' selama lima hari.

Konsortium pelabur Malaysia itu terdiri daripada pemaju hartanah, S P Setia Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus), sementara pengurusan pembangunan projek itu dilaksanakan oleh Battersea Power Station Development Company.

'Festival of Power' itu akan berlangsung pada 14 Oktober hingga 16 Oktober 2022 dan 22 hingga 23 Oktober 2022, dengan penganjuran aktiviti mesra keluarga dan persembahan percuma yang meraikan warisan unik bangunan ikonik itu dan sumbangannya kepada budaya British.

Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, Simon Murphy, berkata pembukaan awam Battersea Power Station dan Electric Boulevard berjalan lancar dengan kurang tiga minggu lagi untuk diadakan.

Beliau berkata, bagi menandakan peristiwa penting itu, pihaknya menganjurkan 'Festival of Power' yang akan menjadi peluang untuk warga London, orang tempatan dan komuniti yang lebih meluas, serta pelawat dari seluruh dunia untuk mendekati bangunan ikonik itu buat pertama kali.

"Ia akan menjadi peristiwa yang benar-benar tidak dapat dilupakan, dengan sesuatu untuk semua orang," katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran awam Stesen Janakuasa Battersea dan Electric Boulevard diikuti selepas pembukaan Circus West Village pada 2017, selesainya chapter pertama dalam penjanaan semula Battersea Power Station, yang telah menempatkan lebih 1,800 penduduk dan lebih 20 bar, restoran,kafe, tempat kecergasan dan riadah.

Acara utama bagi 'Festival of Power' ialah 'Arcadia's Lords of Lightning', tontonan pertarungan yang membabitkan bolt berjuta-juta volt yang dilepaskan antara dua 'Lords', yang diadakan di Power Station Park seluas 2.4 hektar bermula jam 7 malam pada 14 Oktober.

Pengunjung juga akan dapat menikmati pelbagai bentuk hiburan termasuk penghibur jelajah mesra, akrobat dan pengaktifan jenama.

Acara lain termasuk kira detik pembukaan rasmi Power Station, yang mana ia dibuka bermula 10 pagi, berlangsung di Malaysia Square, di sebelah selatan bangunan tersenarai Gred II.

Sepanjang 'Festival of Power', pengunjung boleh menikmati muzik secara langsung termasuk persembahan istimewa daripada Koir Komuniti Battersea Power Station, 'Emerge Showcase' daripada World Heart Beat Music Academy yang menampilkan bakat yang akan datang berumur 16-25 tahun dari kawasan Battersea dan Nine Elms dan Setia Drummers, iaitu rombongan pemain dram Malaysia.

Persembahan muzik lain termasuk syarikat muzik klasik tempatan, Young Guns, stesen radio tempatan, RiversideRadio, akan disiarkan secara langsung dari Battersea Power Station dan Sound Minds akan menyampaikan program khas 'Breathe' dengan persembahan akustik secara langsung.

Tetamu juga boleh meneroka 'Bright Sparks Trail', aplikasi jejak baharu yang memandu pengguna menelusuri sejarah Power Station dengan lokasi geo, muat naik foto, trivia, kuiz dan misi.

Berita Harian X