Khamis, 15 September 2022 | 4:08pm
Projek kondominium Damansara Seresta yang dimajukan oleh L&G
Projek kondominium Damansara Seresta yang dimajukan oleh L&G

Kenaikan kadar faedah tak jejas permintaan hartanah

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Land and General Bhd (L&G) menjangkakan permintaan terhadap sektor hartanah kekal stabil walaupun terdapat jangkaan peningkatan kadar faedah serta kos bahan dan buruh.

Pengarah Urusan L&G, Low Gay Teck, berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa iaitu 2.50 peratus masih di bawah ambang 3.00 peratus yang dicatatkan semasa tempoh sebelum COVID-19.

"Kita masih di bawah kadar sebelum COVID-19 dan dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan perniagaan yang terus pulih seperti biasa, kami percaya kenaikan kadar faedah tidak akan menjejaskan pasaran hartanah secara drastik.

"Selagi membabitkan sektor hartanah, kami tidak melihat itu sebagai penghalang besar bagi pembeli untuk terus melabur dan memperoleh hartanah," katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan ke-59 L&G di sini, hari ini.

Bagi isu kenaikan kos bahan dan kekurangan buruh pula, Gay Teck berkata projek kumpulan itu kebanyakannya dalam peringkat lanjutan untuk penyiapan dan kesan peningkatan kos bahan dan buruh adalah minimum.

"Kos kami berkurangan kerana kami berada di peringkat akhir pembangunan dan bukan di peringkat awal. Untuk projek baharu, sudah tentu kajian kemungkinan perlu mengambil kira kos tambahan pembinaan bangunan," jelas beliau.

Sementara itu, mengenai projek-projek yang akan datang, Gay Teck berkata L&G merancang untuk melancarkan dua projek baharu dalam baki tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2023, dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM783 juta.

Mengenai projek kondominium Damansara Seresta yang sedang berjalan di Bandar Sri Damansara, Gay Teck berkata jumlah unit yang dijual dan ditempah kini berjumlah 72 peratus atau 327 unit daripada 452 unit yang ditawarkan.

-BERNAMA

Berita Harian X