Khamis, 16 Jun 2022 | 2:07pm
Projek M Vertica di Cheras
Projek M Vertica di Cheras

Projek M Vertica dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan hartanah M Vertica yang dibangunkan oleh Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) di Cheras merekodkan jualan yang menggalakkan daripada pembeli.

Projek hartanah yang dibangunkan pada 2018 itu mempunyai lima menara kediaman yang akan mula diduduki pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, berkata kadar jualan yang memberangsangkan itu adalah berdasarkan kepada permintaan untuk hartanah pada harga mampu milik di lokasi strategik.

"Sejak dilancarkan, kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan. M Vertica kini lebih 80 peratus telah dijual.

"Ini menunjukkan permintaan dan keyakinan kukuh pembeli rumah terhadap rangkaian projek mampu milik Mah Sing yang terletak di lokasi strategik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hon Sang berkata, berdasarkan permintaan yang luar biasa itu, kumpulan pada tahun ini melancarkan projek hartanah baharu, M Senyum yang terletak di Salak Tinggi.

Beliau berkata, projek hartanah kediaman M Senyum juga mendapat sambutan apabila 262 unit rumah teres dua tingkat Fasa 1 Camellia telah dimiliki sepenuhnya manakala 270 unit Camellia 2 kini dibuka untuk pendaftaran.

Katanya, siri projek hartanah M oleh Mah Sing dibangunan menggunakan konsep rumah yang ideal kerana ia direka untuk mampu milik dan mempunyai ketersambungan yang baik. 

"Dengan peningkatan kos sara hidup dan kesedaran alam sekitar yang lebih tinggi serta sistem pengangkutan awam yang lebih baik, kami menjangkakan lebih ramai orang akan menggunakan pengangkutan awam. 

"Tambahan pula, projek siri M secara umumnya mempunyai kemudahan yang baik" katanya.

Hon Sang berkata, kumpulan telah melihat permintaan yang ketara untuk hartanah berharga mampu milik yang terletak di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang disebabkan oleh peningkatan pertanyaan dan penerimaan yang baik. 

Beliau berkata, kadar pengambilan yang baik meningkatkan keyakinan kumpulan untuk menawarkan hartanah kediaman yang serupa kepada pasaran. 

Katanya, pada separuh kedua 2022, Mah Sing merancang untuk melancarkan M Astra (berharga daripada RM399,000) di Setapak, dan M Nova (berharga daripada RM318,000) di Kepong.

Selain itu, katanya, Mah Sing sentiasa mencari tanah berharga menarik yang boleh memberikan sekali lagi kejayaan pembangunan kediaman pada harga mampu milik siri M. 

Berita Harian X