Ahad, 20 March 2022 | 5:31pm
Pengurus Besar Kanan Glomac Bhd, Ong Chee Howe yang terbabit bangunkan projek pembinaan Plaza@Kelana Jaya Residences ketika lawatan tapak projek di Kelana Jaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pengurus Besar Kanan Glomac Bhd, Ong Chee Howe yang terbabit bangunkan projek pembinaan Plaza@Kelana Jaya Residences ketika lawatan tapak projek di Kelana Jaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Glomac sasar jual semua unit Plaza@Kelana Jaya

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, menyasar menjual semua 696 unit apartmen servis, Plaza@Kelana Jaya sebelum akhir tahun ini berdasarkan lokasinya yang strategik disamping projek berstatus pegangan bebas yang terakhir dibangunkan di kawasan itu.

Pengurus Besar Kanan, Projek Glomac, Ong Chee Howe berkata, setakat ini 90 peratus projek yang menawarkan dua jenis unit kediaman masing-masing berkeluasan 450 dan 750 kaki persegi (kps) itu sudah habis terjual sejak ia dilancarkan pada 2018.

Katanya, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) R347 juta itu dijangka siap dibangunkan pada suku keempat tahun ini.

"Projek ini adalah yang pertama di bawah Glomac menawarkan kediaman jenis SOHO berkeluasan 450 kps, namun demikian kita merekabentuk unit ini bagi memastikan ia seperti unit kediaman dengan mempunyai dua bilik.

"Unit ini disasarkan kepada golongan muda yang mahu membeli hartanah kediaman di kawasan bandar pada harga mampu milik atau untuk pelabur yang mahu menyewakannya kepada pelancong mengikut kadar harian.

"Ternyata strategi ini membuahkan hasil apabila hampir 90 peratus unit SOHO di Plaza@Kelana Jaya berjaya terjual. Malah, semua unit SOHO kami yang mengadap pemandangan tasik dan padang golf telah habis dibeli sepenuhnya," katanya kepada akhbar di bawah kumpulan NSTP selepas melawat tapak projek itu di sini, baru-baru ini.

Plaza@Kelana Jaya yang mengandungi dua blok kediaman setinggi 31 tingkat itu setakat ini sudah 85 peratus siap.

Ia menawarkan pelbagai kemudahan antaranya kolam renang dewasa dan kanak-kanak, jakuzi, taman permainan, gelanggang separuh futsal, laluan joging, gimnasium, surau, bilik bacaan dan ruang untuk tadika dan taska.

Pembangunan itu turut mengandungi 16 lot komersil yang berkeluasan di antara 4,154 kps hingga 4,832 kps denga harga jualan bermula dari RM3 juta seunit.

Terletak di sebelah Lebuhraya Damansara Perdana (LDP), apartmen itu menawarkan akses yang cukup baik dengan jarak ke lebuhraya lain seperti hanya 5.5 kilometer (km) ke Lebuhraya Persekutuan dan 6.9km ke Lebuhraya Shah Alam.

Sementara itu Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualannya, Afzan Rahmat, berkata reka bentuk asal unit kediaman untuk projek itu sebenarnya adalah lebih besar dan selepas mendapati terdapat pemaju lain yang turut menawarkan saiz sedemikian untuk projek mereka di situ, pihaknya memutuskan untuk mengubah strategi.

"Kita tidak mahu bersaing secara langsung dengan mereka, jadi kita putuskan untuk tukar prototaip reka bentuk kepada yang sekarang ini dan ternyata ia berjaya apabila menerima sambutan menggalakkan," katanya.

Berita Harian X