Isnin, 28 Februari 2022 | 8:27pm
Projek M Adora di Wangsa Melawati
Projek M Adora di Wangsa Melawati

Jualan hartanah Mah Sing kembali pulih

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd merekodkan jualan hartanah RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, membolehkannya mencapai prestasi di paras sebelum pandemik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pertumbuhan jualan Mah Sing bagi tahun dikaji disokong pelaksanaan dan kejayaan projek hartanah mampu miliknya iaitu M-Series serta inisiatif pemasaran digital yang berkesan.

Katanya, berdasarkan persekitaran semasa yang semakin pulih, Mah Sing merancang melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion tahun ini.

"Apabila ekonomi pulih dan menunjukkan tanda-tanda menggalakkan untuk kembali normal, justeru kami menyasarkan sasaran jualan hartanah baharu mencecah RM2 bilion tahun ini, iaitu pertumbuhan 25 peratus berbanding tahun lalu.

"Sasaran kami untuk hartanah baharu ialah dengan 60 peratus ditawarkan pada harga bawah RM500,000 dan 94 peratus di bawah RM700,000," katanya dalam satu kenyataan.

Hoy Kum berkata, barisan 21 projek hartanah yang dalam pelaksanaan juga akan menyokong pertumbuhan jualan tahun ini selain perancangan pelancaran projek termasuk M Senyum di Sepang, M Astra di Setapak, M Nova di Kepong, M Panora di Rawang, baki fasa untuk Ferringhi Residences di Pulau Pinang dan rumah dua tingkat di Meridin Timur, Johor Bahru.

"Kumpulan optimis bahawa projek hartanah akan terus mendapat tarikan daripada pembeli teruta disebabkan lokasi strategik dengan pasaran sasaran yang besar, harga yang berpatutan dan ciri yang direka dengan baik sejajar dengan permintaan pasaran semasa," katanya.

Mah Sing meraih keuntungan sebelum cukai lebih tinggi 49.3 peratus kepada RM219.2 juta disokong peningkatan pendapatan 14.6 peratus kepada RM1.75 bilion.

Bagi tempoh suku keempat 2021, Mah Sing meraih keuntungan sebelum cukai RM52.9 juta, 14.4 peratus lebih tinggi berbanding suku sebelumnya RM46.2 juta, manakala pendapatan pula menokok RM537.4 juta, atau 13.7 peratus daripada RM472.8 juta suku sebelumnya.

Segmen pembangunan hartanah mencatat keuntungan operasi sebanyak RM259.7 juta disokong pendapatan sebanyak RM1.34 bilion.

Projek pembangunan yang menjadi penyumbang pendapatan utama termasuk M Vertica di Cheras, M Arisa dan M Centura di Sentul, M Luna di Kepong, M Aruna di Rawang, Meridin Timur di Johor, M Oscar di Off Kuchai Lama, M Adora di Wangsa Melawati, Southville City di KL South dan Southbay City di Pulau Pinang.

Projek lain yang turut menyumbang termasuk Kediaman Ferringhi di Pulau Pinang, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan Mah Sing i-Parc di Johor.

Segmen pembuatan meraih pendapatan sebanyak RM370.3 juta, meningkat 28.5 peratus berbanding RM288.2 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Peningkatan hasil disumbangkan terutamanya oleh jualan lebih tinggi bagi palet plastik dan alat ganti automotif berikutan permintaan terpendam daripada industri penting dan automotif, manakala jualan sarung tangan turut menyumbang kepada peningkatan dalam segmen pembuatan.

Bersandarkan prestasi kewangan kukuh, Mah Sing mengisytiharkan dividen pertama dan terakhir sebanyak 2.65 sen sesaham.

Hoy Kum berkata, imbangan kira-kira Mah Sing kekal sihat mencerminkan pengurusan kewangan kumpulan yang berdisiplin dan pelaksanaan strategi yang kukuh bagi memacu pertumbuhan simpanan tanah yang strategik dan pemulihan pantas.

"Meskipun berdepan sekatan pergerakan, penjanaan tunai kumpulan kukuh disebabkan beberapa hartanah kosong dengan baki tunai akhir tahun sebanyak RM1.02 bilion meskipun dengan pengambilalihan tiga tanah baharu serta kadar kerja-kerja pembinaan stabil.

"Pada 31 Disember 2021, Mah Sing mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM1.9 bilion yang juga menambah keupayaan pendapatan bagi kumpulan," katanya.

Berita Harian X