Ahad, 16 Januari 2022 | 12:08pm
Taman Wetland Iringan Bayu di Seremban - Foto OSK Property
Taman Wetland Iringan Bayu di Seremban - Foto OSK Property

Taman Wetland Iringan Bayu tarikan baharu Seremban

KUALA LUMPUR: OSK Property memperkenalkan satu lagi tarikan terbaru terutama untuk penduduk sekitar Seremban iaitu Taman Wetland Iringan Bayu.

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin, berkata taman tanah lembap berkeluasan 22 ekar dengan kos pembangunan sebanyak RM9 juta itu dijangka mampu menarik 35,000 pengunjung tahun ini.

Beliau berkata, keunikan Taman Wetland Iringan Bayu adalah mempunyai tiga elemen penting yang menjadikannya taman pertama menggabungkan tanah lembap, taman dan seni.

Ia, katanya, dijangka menggalakkan ekosistem yang stabil serta menyokong pemuliharaan dan kepentingan tanah lembap dalam kawasan kejiranan.

"Taman tanah lembap yang pada asalnya dicipta sebagai kolam tampungan hujan kini menjadi rumah kepada 200,000 tumbuhan tanah lembap dan 972 pokok daripada 60 spesies berbeza serta menarik lebih daripada lapan spesies burung dan 11 spesies ikan.

"Ia juga sebahagian daripada projek pembangunan Iringan Bayu, Seremban yang mengintegrasikan kepelbagaian biologi dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Ghee Bin berkata, kemudahan yang terdapat di Taman Wetland Iringan Bayu adalah laluan joging dan lorong basikal yang disambungkan ke setiap fasa kediaman dalam perbandaran, 18 taman kecergasan, gelanggang bola keranjang dan futsal, jambatan penghubung sepanjang 190 meter dengan astaka tasik serta taman permainan kanak-kanak bersepadu.

Beliau berkata, taman tanah lembap itu dibuka kepada orang ramai termasuk penduduk Iringan Bayu.

Taman Wetland Iringan Bayu, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Seremban, dibuka percuma kepada orang ramai dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Selain itu, orang ramai juga boleh merasai pengalaman seni yang melengkapkan elemen alam semula jadi dengan 24 arca seni.

-BERNAMA

Berita Harian X