Rabu, 12 Januari 2022 | 2:12pm
Pemaju hartanah, HIL Industries Bhd
Pemaju hartanah, HIL Industries Bhd

HIL Industries rancang projek hartanah RM471.1 juta

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian plastik sehenti dan pemaju hartanah, HIL Industries Bhd (HIL Industries) bercadang membina kediaman di atas lima bidang tanah secara usaha sama di Sungai Buloh, Klang dan Jugra, Selangor.

Cadangan yang sudah mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) menyaksikan syarikat akan bekerjasama Unik Sejati Sdn Bhd (Unik Sejati), Pembinaan Kesentosaan Sdn Bhd (Pembinaan Kesentosaan) dan Amverton Carey Golf & Island Resort Sdn Bhd (Amverton Carey) bagi membangunkan kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM471.1 juta di atas tanah berkeluasan 40.9 hektar di Selangor.

Pembangunan ini akan merangkumi pembinaan 154 unit dan 78 unit teres dua tingkat berstrata di Sungai Buloh dan Klang, serta 141 unit banglo berstrata dan 428 unit rumah bandar di Amverton Cove, Pulau Carey.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HIL Industries, Datuk Milton Ng, berkata kerjasama secara usaha sama adalah sejajar dengan sasaran syarikat untuk mengembangkan perniagaan hartanah di Lembah Klang.

"Usaha sama adalah peluang kepada syarikat untuk menambah projek pembangunan hartanahnya dengan kos awal yang minimum dan ia dijangka meningkatkan hasil serta sumbangan keuntungan daripada segmen pembangunan hartanah.

"Berdasarkan kajian daya maju, HIL Industries dijangka menjana anggaran keuntungan GDV sebanyak RM96.1 juta daripada usaha sama ini. Ia juga membolehkan syarikat bahagian dalam pembangunan tanpa pembelian langsung tanah yang memerlukan perbelanjaan tunai yang besar.

"Selain itu, hak milikan tanah akan dibayar sepenuhnya dari segi unit, bukannya secara tunai. Ia akan memudahkan dan menjimatkan aliran tunai HIL Industries," katanya.

Menuju ke hadapan, HIL Industries akan meneroka peluang untuk mendapatkan lebih banyak tanah pembangunan di Lembah Klang bagi memastikan pertumbuhan berterusan perniagaan hartanahnya.

Segmen pembangunan hartanah HIL Industries meraih pendapatan sebanyak RM80.1 juta dan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM20.7 juta, iaitu masing-masing mewakili 49.1 peratus dan 66.5 peratus daripada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 2021, segmen pembangunan hartanah meraih pendapatan sebanyak RM48.6 juta dan PBT sebanyak RM17.9 juta, iaitu masing-masing mewakili 49.7 peratus dan 85.4 peratus.

Berita Harian X