Rabu, 5 Januari 2022 | 1:52pm
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San (tengah) pada majlis taklimat media kumpulan di Petaling Jaya, hari ini. Turut serta Pengarah Eksekutif LBS iaitu Lucas Lim, Datuk Cynthia Lim, Datuk Sri Daniel Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim (kanan) -NSTP/Rohanis Shukri
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San (tengah) pada majlis taklimat media kumpulan di Petaling Jaya, hari ini. Turut serta Pengarah Eksekutif LBS iaitu Lucas Lim, Datuk Cynthia Lim, Datuk Sri Daniel Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim (kanan) -NSTP/Rohanis Shukri

LBS sasar jualan hartanah RM1.6 bilion

PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS) menjangkakan pencapaian yang lebih baik tahun ini dengan sasaran mencapai jualan RM1.6 bilion.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San, berkata pemaju hartanah itu optimis dapat mencapai sasaran jualan itu berdasarkan pencapaian jualan memberangsangkan dicatatkan pada 2021 meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, LBS pada tahun lalu mencatatkan jualan memberangsangkan sebanyak RM1.575 bilion, 31 peratus lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM1.2 bilion.

Katanya, ia bukan saja melepasi sasaran jualan hartanah bagi tahun lalu, pemaju itu juga berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,570 unit rumah membabitkan nilai RM1.3 bilion pada 2021.

"Kami bercadang melancarkan 14 projek baharu pada 2022 meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak berjumlah 3,733 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion," katanya pada taklimat media tahunan LBS di sini, hari ini.

Ketika ini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.3 bilion.

Sehingga 31 Disember 2021, simpanan tanah masa depan LBS dianggarkan berjumlah 1,097.6 hektar, yang membolehkan pemaju hartanah itu kekal relevan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun.

Di samping itu, LBS mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM 2.304 bilion, dijangka memberikan impak pendapatan yang jelas untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Hock San berkata, LBS berhasrat melancarkan 2,604 unit hartanah dengan jumlah GDV sebanyak RM1.11 bilion di Lembah Klang, dengan perbandaran KITA @ Cybersouth menyaksikan pelancaran 2,128 unit hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM853 juta.

Beliau berkata, LBS turut merancang untuk melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana yang terdiri daripada 321 unit hartanah dengan GDV sebanyak RM120 juta serta sejumlah 155 unit Astella di D'Island Residence dengan jumlah GDV RM132 juta.

Bagi kawasan lain, projek baharu katanya termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands membabitkan 642 unit dengan jumlah GDV RM492 juta; rumah kluster satu tingkat di Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit dengan jumlah GDV RM64 juta), rumah teres satu tingkat Emerald Garden 3, rumah Semi-D dua tingkat Royal Garden dan rumah teres dua tingkat di Laman Bayu 4, Bandar Putera Indah, Johor (239 unit dengan jumlah GDV RM108 juta).

"Melangkah ke hadapan, LBS kekal mengadaptasi norma baharu di samping menerapkan pendigitalan dalam perniagaan serta bekerja keras untuk mencapai matlamat," katanya.

Hock San berkata, bagi memulakan tahun ini, LBS melancarkan kempen 'Bring Happiness Home', yang bakal memberi ganjaran Angpau Tahun Baru Cina sebanyak RM438,888 kepada pembeli rumah dari 1 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022.

Di bawah kempen ini, LBS katanya turut menawarkan pakej perabot, yuran tempahan yang rendah, ganjaran kesetiaan, skim pembayaran flexi dan yuran keluar sifar.

"Sebagai pemaju rakyat, kami terus komited untuk menyokong inisiatif perumahan kerajaan dan berharap pembeli rumah terdorong untuk memiliki rumah seiring dengan usaha kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hock San berkata projek hartanah dibangunkannya tidak terkesan oleh banjir yang berlaku baru-baru ini.

Beliau tidak menolak pembeli rumah akan berhati-hati untuk membeli rumah berhampiran kawasan banjir, namun dalam masa sama tidak menolak bahawa harga rumah akan meningkat berikutan kenaikan harga bahan binaan dijangka antara lima hingga 10 peratus.

Justeru, beliau berharap, kerajaan akan melaksanakan lagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi merancakkan lagi aktiviti pembelian rumah tahun ini.

Berita Harian X