Rabu, 25 November 2020 | 10:47am
2,218 kanak-kanak direkrut sebagai renjer Gparks.
2,218 kanak-kanak direkrut sebagai renjer Gparks.

Gamuda Land bina persekitaran lebih baik untuk masa depan

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menjaga dan memelihara alam semula jadi adalah kewajipan segenap masyarakat. Pembangunan dilakukan atas kehendak dan keperluan manusia, seharusnya seiring matlamat pembangunan lestari (SDG) supaya biodiversiti dapat dikekalkan serta boleh dinikmati generasi akan datang.

Komited terhadap usaha itu adalah pemaju hartanah Gamuda Land, sejak bandar pertamanya, Kota Kemuning dibangunkan pada 1995.

Baru-baru ini, syarikat itu menubuhkan Gamuda Parks dengan visi dan misi, mempromosikan kelestarian dalam kawasan perbandaran dibangunkan.

281,200 pokok ditanam di perbandaran Gamuda Land.
281,200 pokok ditanam di perbandaran Gamuda Land.

Inisiatif ini merangkumi Dasar Biodiversiti Gamuda Parks yang diaplikasikan sebagai panduan dan dibangunkan melalui pengalaman serta proses pembangunan sejak 25 tahun lalu.

Memperkayakan alam sekitar

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abd Khalid, berkata pihaknya bermatlamat membina persekitaran lebih baik untuk masa depan dengan konsep hidup harmoni di habitat sama, antara manusia dan alam semula jadi yang bersandarkan tiga teras fokus, iaitu inovasi hijau, pembangunan lestari serta komuniti lestari.

"Gamuda Parks adalah inisiatif Gamuda Land. Kami mula melihat pengurusan landskap, ekosistem persekitaran hijau, pengurusan ekosistem flora, pengurusan kualiti air dan bahan buangan serta kolam tanah lembap.

"Menerusi pelaksanaan program hijau yang kami jalankan dan dasar biodiversiti hasil tindakan, pentadbiran Gamuda Land memikir semula pendekatan kelestarian serta melihat pengurusan dan penyelenggaraan landskap melangkaui kebiasaannya," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abd Khalid.
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abd Khalid.

Khariza berkata, memulihara kelestarian ekosistem bukan semata-mata menghijaukan kawasan, tetapi merangkumi faktor persekitaran holistik seperti akses air bersih, degradasi ekosistem, perubahan iklim, sosial, kelestarian ekonomi dalam komuniti serta menerajui keseninambungan perniagaan yang mengamalkan tadbir urus baik.

Antara program Gamuda Parks yang masih berjalan sehingga sekarang, termasuk pengurusan sisa makanan, program pemulihan alam sekitar, libat urus dengan komuniti Orang Asli dan menubuhkan GParks Nature School (Sekolah Alam GParks).

Audit biodiversiti juga dijalankan di beberapa kawasan seperti di Paya Indah Discovery Wetlands dekat Dengkil, Selangor bersebelahan Gamuda Cove yang menemukan banyak spesies burung unik serta jarang ditemui di persekitaran berkenaan.

Kata Khariza, pihaknya turut berkolaborasi dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam bidang yang boleh dimanfaatkan bersama di kawasan berkenaan.

Pendekatan holistik

"PERHILITAN, kerajaan Selangor dan Gamuda Land membaiki pulih, menambah baik serta mempertingkatkan kemudahan dan aktiviti sambil mengekalkan sifat rustic atau kedesaan di kawasan tanah lembap yang indah.

"Kita berusaha memastikan pembangunan dan pemuliharaan alam semula jadi boleh diseiringkan dalam usaha menambah baik kualiti kehidupan untuk manusia sejagat, secara lestari," katanya.

Berdasarkan data terkini Gamuda Parks, di bawah inovasi hijau, pihaknya mengutip 20,537 meter padu sisa kebun bersamaan 3,080 kilogram (kg) pembebasan gas karbon dioksida, sekali gus berjaya menjimatkan kos pengangkutan pelupus sisa RM16,520. Malah, menghasilkan 90kg baja kompos dan mengumpul 7,700kg sisa fabrik.

Inisiatif Gamuda Parks termasuk pengurusan sisa makanan.
Inisiatif Gamuda Parks termasuk pengurusan sisa makanan.

Di bawah fokus pembangunan lestari pula, 281,200 pokok ditanam di perbandaran Gamuda Land, serta usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap, program pendidikan alam sekitar, menanam 50 peratus spesis asli, program rehabilitasi dan penanaman minimum lima peratus spesis pokok terancam.

Antara langkah dilakukan dalam fokus komuniti lestari adalah peningkatan kemahiran pelitup muka dengan Orang Asli dan mengenai benih liar serta pokok perubatan.

Seramai 2,218 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun direkrut sebagai renjer Gparks. Mereka akan terbabit dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kesukarelawan sebagai pendedahan serta pendidikan awal mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi.

Menuju masa depan lebih cerah

Sementara itu, inisiatif itu dipuji pakar ekologi, Dr Christine Fletcher yang menyifatkan ia bukan sekadar program tanam pokok, pendidikan alam semula jadi dan amalan kecekapan tenaga.

"Ia menjangkaui usaha membina, memulihara ruang hijau dalam sistem tertutup dan perubahan oleh Gamuda Parks boleh dirasai serta memanfaatkan komuniti sekitar.

"Usaha mereka terpuji dan boleh bergelar contoh sebagai entiti perniagaan yang bertanggungjawab dan telus.

"Sememangnya, ia memerlukan komitmen dan kumpulan yang berdedikasi untuk melonjak agensi kelestarian," katanya.

Ketua Program Biodiverstiti Flora Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Richard Chung, pula berkata apa yang dilakukan Gamuda Parks menghala ke arah betul.

"Mereka minta nasihat kawasan mana perlu dilindungi, mana yang boleh untuk mereka bangunkan dan apa boleh dilakukan supaya ia lebih baik.

"Saya percaya mereka dapat membina suasana persekitaran menyenangkan, boleh didiami untuk komuniti," katanya.

Berita Harian X