Rabu, 30 September 2020 | 5:01pm
Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia (iProperty.com.my), Premendran Pathmanathan.
Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia (iProperty.com.my), Premendran Pathmanathan.

Permintaan kediaman sewa susut 5.6 peratus

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan langkah perlu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan permintaan kediaman sewa bagi enam bulan pertama tahun ini turun sebanyak 5.6 peratus, demikian mengikut iProperty.com.my.

Portal hartanah itu dalam laporan separuh pertama 2020 Property Demand Analytics (Rental Market), berkata bagaimanapun keadaan ekonomi dan sosial menunjukkan pemulihan bermula pertengahan Mei 2020 selepas kerajaan melonggarkan kawalan dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diiukuti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Ini disokong oleh pemulihan minat pengguna terhadap hartanah semasa fasa PKPB apabila kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti melawat sewaan hartanah dibenarkan.

"Sebulan selepas PKPP bermula pada minggu pertama Julai, permintaan minat sewaan menunjukkan pemulihan sebanyak 25 peratus.

"Pemulihan pasaran pada penghujung separuh pertama ini juga meringankan kesan buruk awal pandemik terhadap pasaran sewaan hartanah dan membawa kepada penurunan permintaan keseluruhan hanya sebanyak 5.6 peratus.

"Hartanah bertingkat memperoleh hasil sewa yang lebih tinggi berbanding rumah teres. Kondominium dan kediaman servis masing-masing merekodkan peningkatan hasil sewa sebanyak 4.17 peratus dan 4.03 peratus manakala rumah teres pula mencatatkan hasil sebanyak 3.43 peratus," katanya.

Laporan itu juga menyatakan, kondominium juga menjadi kediaman popular dalam kalangan penyewa di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Situasi itu katanya tidak menentu ekoran penularan COVID-19 membuatkan ramai pencari hartanah mempertimbangkan untuk menyewa dan bukannya membeli rumah.

Ia juga berkemungkinan menjadi punca kenaikan angka kunjungan dan penyenaraian sewaan hartanah di Kuala Lumpur berbanding separuh pertama 2019, membawa kepada penurunan permintaan hartanah yang lebih sederhana iaitu sebanyak -2.9 peratus.

Laporan itu turut menunjukkan penyewa juga lebih mencari kediaman yang menawarkan sewa antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

"Di Kuala Lumpur, antara kawasan yang merekodkan hasil sewa terbaik pada tempoh dikaji adalah Pantai, Brickfields, Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

"Angka permintaan sewaan hartanah bagi Selangor turut mengalami penurunan yang sedikit sebanyak 1.2 peratus. Ini berpunca daripada kadar kenaikan angka penyenaraian yang lebih tinggi berbanding kenaikan angka kunjungan.

"Bagi tempoh sama, Ulu Kelang adalah kawasan paling pesat membangun dari segi permintaan sewa dengan pertumbuhan permintaan 44.21 peratus tahun ke tahun (YoY).

"Sebilangan besar penyewa di Selangor berminat dengan kondominium yang menawarkan harga sewa sebanyak RM2,000 sebulan dan ke bawah.

"Permintaan sewaan hartanah di Selangor juga ketika ini sudah beralih ke kawasan pinggir bandar seperti Ulu Kelang, Bangi, Klang, Rawang dan Semenyih disebabkan harga yang lebih berpatutan," katanya.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia (iProperty.com.my), Premendran Pathmanathan, berkata disebabkan krisis pandemik, ramai rakyat lebih memilih untuk menyewa berbanding membeli.

Beliau berkata, ini juga adalah masa yang tepat untuk melihat data mengenai permintaan sewaan hartanah bagi menilai minat pengguna yang mula beralih kepada pilihan perumahan yang lebih murah dan fleksibel.

Berita Harian X