Sabtu, 1 Ogos 2020 | 12:33pm
Ketua Pegawai Eksekutif MyProperty Data Sdn Bhd, Thor Joe Hock - NSTP/Owee Ah Chun
Ketua Pegawai Eksekutif MyProperty Data Sdn Bhd, Thor Joe Hock - NSTP/Owee Ah Chun

Data besar hartanah tentu harga rumah lebih tepat

KUALA LUMPUR: Penggunaan data besar dalam sektor hartanah akan membantu pembeli dan penjual menentukan harga hartanah dengan lebih tepat serta peluang meraih manfaat peningkatan pertumbuhan harga pada masa depan.

Data hartanah yang menyeluruh memberikan pembeli, penjual dan pelabur keyakinan untuk membuat keputusan yang tepat dan memahami persekitaran pasaran semasa dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif MyProperty Data Sdn Bhd, Thor Joe Hock, berkata data adalah elemen penting bagi memastikan pembeli membeli hartanah yang betul pada harga pasaran yang tepat dengan melihat kepada lokasi dan jenis hartanah itu.

Justeru, katanya, ia memberikan peluang terbaik kepada pengguna untuk memanfaatkan potensi peningkatan pertumbuhan harga pada masa depan.

"Dengan adanya data yang lengkap membolehkan pembeli hartanah memahami dengan baik hartanah yang ingin dibeli dan masa terbaik untuk membeli hartanah," katanya dalam satu temubual bersama BH, baru-baru ini.

MyProperty Data adalah penyedia data, analitik dan penyelesaian hartanah kepada institusi kewangan, agensi penarafan kredit, penilai, ejen dan pemaju hartanah.

Mengenai tinjauan semasa, Joe Hock menjangkakan pasaran hartanah tidak banyak berubah untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang berikutan persekitaran semasa yang mencabar dengan impak penularan COVID-19.

Beliau berkata, segmen hartanah mewah dijangka kekal tidak berubah, sementara hartanah di bawah RM500,000 akan pulih terlebih dulu membabitkan segmen kediaman.

Bagi hartanah komersial pula, syarikat mungkin menilai semula keperluan mereka untuk ruang pejabat, katanya.

"Mungkin konsolidasi untuk tempoh 12 hingga 18 bulan, namun kami tidak melihat pertumbuhan sewa yang tinggi. Namun, terdapat peningkatan transaksi bagi ruang untuk logistik," katanya.

Joe Hock berkata, persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini memberi kelebihan kepada pembeli hartanah untuk mendapatkan hartanah pada harga diskaun yang menarik.

Beliau berkata, pasaran kini lebih cenderung kepada pembeli kerana bekalan melebihi permintaan, yang mana keadaan itu memberi peluang tawar-menawar yang menarik kepada pembeli hartanah.

Berdasarkan data MyProperty Data, Klang (Bandar Bukit Raja) dan Kajang-Semenyih adalah dua kawasan mencatatkan transaksi hartanah paling tinggi di Lembah Klang dengan harga hartanah bertanah antara RM550,000 hingga RM737,888 antara 2018 hingga 2019.

Berita Harian X