Ahad, 19 Julai 2020 | 12:28pm
Sophia Hills, projek hartanah kontemporari moden dibangunkan Hoi Hup Realty Pte Ltd dan Sunway Development Pte Ltd - Foto ihsan Sunway
Sophia Hills, projek hartanah kontemporari moden dibangunkan Hoi Hup Realty Pte Ltd dan Sunway Development Pte Ltd - Foto ihsan Sunway

Projek Hoi Hup, Sunway gondol anugerah

KUALA LUMPUR: Sophia Hills, projek hartanah kontemporari moden dibangunkan Hoi Hup Realty Pte Ltd dan Sunway Development Pte Ltd, dianugerahkan Pemenang Emas Dunia bagi kategori kediaman (kategori sederhana) pada FIABCI World Prix d'Excellence Awards 2020.

Sophia Hills yang juga pembangunan terbesar di District 9 Singapura, adalah projek kondominium dengan 493 unit, terletak di puncak Gunung Sophia.

Kedua-dua pemaju juga mengekalkan dan memelihara beberapa tinggalan warisan seperti Trinity Theological College Chapel yang dibina pada 1969 dijadikan sebagai restoran, sementara Olson Building oleh Frank Wilmin Brewer pada 1928, kini diubah menjadi The Sophia Clubhouse.

Sementara itu, Nan Wah Girl School yang dibina pada 1941 pula dijadikan pusat asuhan kanak-kanak atau tadika .

Timbalan Pengarah Urusan, Bahagian Pembangunan Hartanah (Antarabangsa) Sunway Bhd, Tan Wee Bee, berkata kumpulan komited untuk memacu matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Pemeliharaan warisan budaya dan seni bina Singapura untuk masyarakat adalah elemen penting bagi membina bandar dan komuniti yang lestari," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hoi Hup Realty, Koon Wai Leong, berkata pihaknya teruja kerana projek hartanah bersamanya itu mengekalkan identiti bersejarah Gunung Sophia serta memberikan suasana baru kepada bangunan dan kawasan kejiranan.

FIABCI Prix d'Excellence Award adalah salah satu penghormatan tertinggi yang diberikan kepada projek yang terbukti memberikan impak tinggi.

Dianugerahkan oleh panel antarabangsa yang terdiri daripada profesional dan pakar hartanah terkemuka, ia mengiktiraf projek yang merangkumi kecemerlangan terbaik dalam semua bidang hartanah.

Berita Harian X