Khamis, 16 Julai 2020 | 6:07pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melihat kondominium contoh M Adora selepas merasmikan galeri jualan di Wangsa Melawati.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melihat kondominium contoh M Adora selepas merasmikan galeri jualan di Wangsa Melawati.

Projek M Adora dilancar, harga bermula RM468,000

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) melancarkan projek pembangunan terbaharunya, M Adora yang merangkumi dua menara unit kediaman kondominium setinggi 31 tingkat.

Dengan harga permulaan RM468,000, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM378 juta itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan bakal pembeli berikutan terletak di lokasi yang amat strategik iaitu Wangsa Melawati.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, berkata M Adora diyakini mampu menarik perhatian ramai pembeli berpotensi kerana kedudukannya yang terletak tidak jauh dengan KLCC.

Selain itu katanya, ia juga mempunyai jaringan akses yang baik dihubungkan dengan banyak lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuh Raya DUKE dan Lebuh Raya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE).

"Projek ini juga terletak hampir dengan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) iaitu 1.8 kilometer (km) dari stesen LRT Sri Rampai dan 2.2 km stesen LRT Wangsa Maju.

"Pembangunan kediaman mampu milik ini sudah pasti menjadi pilihan ideal buat pembeli rumah pertama, penaik taraf kediaman, keluarga muda serta golongan profesional yang mahu menetap berdekatan dengan pusat daerah perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pembukaan galeri jualan M Adora, hari ini.

Pembukaan galeri jualan itu disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

M Adora yang dibangunkan di atas tapak seluas 1.82 hektar menawarkan tiga jenis saiz kediaman iaitu Jenis A berkeluasan 850 kaki persegi (kps) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Jenis B berkeluasan 1,000 kps dengan tiga bilik tidur, satu bilik belajar dan dua bilik air manakala Jenis C yang berkeluasan 1,200 kps ialah unit dwi kunci yang mengandungi empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Setiap penghuni juga akan diberi antara dua hingga tiga parkir bergantung mengikut jenis kediaman yang dibeli.

Yuran penyelenggaran pula ialah 35 sen bagi setiap kps.

Projek pembangunan yang dijangka siap pada 2024 itu menawarkan 35 kemudahan kepada penghuninya termasuk kolam renang, taman permainan, taman riadah, jambatan langit, dek langit, tadika, pusat asuhan, surau, gelanggang separuh bola keranjang, gimnasium, dewan serbaguna dan lain-lain.

Dalam pada itu, Hon Sang berkata, Mah Sing sedang meninjau peluang untuk membeli tanah berpotensi untuk dibangunkan di Lembah Klang pada tahun ini.

"Pada separuh pertama tahun ini, syarikat tidak membeli sebarang tanah kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Namun, kami sedang giat meninjau untuk membuat pembelian bagi meningkatkan simpanan tanah pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Setakat ini, Mah Sing mempunyai simpanan tanah berjumlah 817 hektar dengan 69 peratus darinya terletak di dalam Greater Kuala Lumpur, diikuti 21 peratus di Johor dan selebihnya di Pulau Pinang.

Berita Harian X