Khamis, 14 Mei 2020 | 4:53pm
HouzKEY menawarkan pembiayaan 100 peratus dan ansuran bulanan lebih rendah
HouzKEY menawarkan pembiayaan 100 peratus dan ansuran bulanan lebih rendah

Mah Sing, Maybank Islamic bantu pembeli rumah dengan HouzKEY

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menjalin perkongsian strategik dengan Maybank Islamic Bhd bagi menawarkan HouzKEY, penyelesaian kewangan rumah baharu Maybank, yang meningkatkan kempen pemilikan rumah "Eazy to Own" Mah Sing.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama dengan Maybank Islamic itu satu lagi bukti komitmen kumpulan sebagai pemaju yang didorong pasaran untuk menawarkan penyelesaian alternatif bagi menjadikan pemilikan rumah lebih mudah.

"Kempen "Eazy to Own" adalah respons terhadap kemahuan pembeli, yang seiring dengan strategi pertumbuhan kami agar lebih fleksibel dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam pasaran.

"Kempen ini dilancarkan dengan kerjasama HouzKEY Maybank Islamic untuk beberapa projek terpilih, dan kami akan meningkatkan jumlah projek yang ditawarkan pada fasa berikutnya," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Urusan Maybank bagi Real Estate Ventures, Group Global Banking, Sally Lye Saw Im berkata HouzKEY menawarkan pembiayaan 100 peratus dan ansuran bulanan yang lebih rendah.

"Bersesuaian dengan misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, kami komited untuk memberi perkhidmatan terhadap masyarakat dengan memenuhi keperluan mereka dengan sebaik mungkin.

"Oleh itu, kami percaya bahawa gabungan produk kami dengan hartanah Mah Sing dapat memberi peluang besar buat rakyat Malaysia untuk memulakan perancangan pemilikan rumah mereka," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X