Jumaat, 17 April 2020 | 4:20pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Lebih 10 peratus penyewa gagal lunas sewa rumah

KUALA LUMPUR: SPEEDHOME mendedahkan lebih daripada 10 peratus penyewa membayar sewa rumah ekoran pekerjaan serta pendapatan yang terjejas dengan impak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng, berkata ekoran situasi itu platform sewaan kediaman digital dengan kerjasama KYY Home menyalurkan bantuan melalui Pakej Bantuan Sewaan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban kewangan penyewa.

Beliau berkata, fokus utama program itu adalah untuk membantu golongan penyewa yang pendapatannya terjejas akibat pandemik global berkenaan.

Katanya, kerjasama dengan syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah itu memberi kelonggaran sewa bernilai RM500,000 bagi membantu penyewa menangani kesan COVID-19.

“Data kami menunjukkan lebih daripada 10 peratus penyewa tidak dapat meneruskan bayaran sewa rumah kerana pekerjaan dan pendapatan mereka terkesan dengan impak Covid-19.

“Oleh yang demikian,SPEEDHOME dan KYY Home berganding bahu menyalurkan bantuan melalui Pakej Bantuan Sewaan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban kewangan penyewa Malaysia yang terjejas pendapatan mereka berikutan pandemik Covid-19.”

“Antara sebahagian kelonggaran sewaan yang diberikan adalah sewa percuma selama dua bulan kepada penyewa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan KYY Home, Marcus Low, berkata pemilik perniagaan dengan kewangan yang stabil mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

“Kami berbesar hati untuk membantu sedikit sebanyak untuk meringankan beban kewangan penyewa dengan menawarkan sewa percuma selama dua bulan kepada mereka.

“Kami harap ini dapat membantu mereka dalam masa-masa sukar ini,” katanya.

Proses permohonan sewa percuma itu sangat mudah dengan penyewa hanya perlu log masuk akaun di SPEEDHOME dan cari rumah yang mempunyai label KYY di dalam laman web kemudian menghantar permohonan sembang (chat request) selepas menonton video unit berkenaan.

Sekiranya penyewa berminat untuk menyewa rumah berkenaan, mereka boleh terus berpindah masuk.

SPEEDHOME juga peka terhadap situasi semasa dan mewujudkan perkhidmatan pameran rumah tanpa sentuh (contactless viewing).

Berita Harian X