X
Selasa, 17 March 2020 | 10:03am
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abdul Khalid memberi penerangan berkenaan susun atur lanskap. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abdul Khalid memberi penerangan berkenaan susun atur lanskap. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Gamuda Land lestarikan Kundang Estates

Gamuda Land melakar sejarahnya yang tersendiri dalam inisiatif menjamin kelestarian alam sekitar dalam pembangunan perbandaran yang berjaya mewujudkan kepelbagaian biologi di Kundang Estates, projek pembangunan kediaman butik miliknya yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Inisiatif kelestarian alam sekitar yang dilaksanakan menerusi Gamuda Parks, adalah satu inisiatif pemaju itu untuk memacu konsistensi dalam pendekatan pelaksanaan dan penyelenggaraan taman dalam perbandaran yang dibangunkannya.

Gamuda Land berjaya menukar kawasan bekas lombong bijih timah yang kemudiannya menjadi kawasan ladang getah dan sawit itu kepada pembangunan kediaman yang dikelilingi flora dan fauna yang pelbagai.

Dalam tempoh empat tahun perbandaran itu dibangunkan, Kundang Estates kini menjadi tempat tumpuan pelbagai spesis flora tempatan dan persinggahan fauna untuk mendapatkan sumber makanan dan ia menjadikan Kundang Estates sebagai ekosistem yang lengkap dengan taman semula jadi yang indah.

Pada Januari lalu, berikutan dengan kepelbagaian biologi, sejumlah besar burung migrasi telah menjadikan Kundang Estates sebagai salah satu laluan mereka.

Antara spesis burung migrasi yang banyak terdapat di situ ialah burung Upeh-Siput Asia atau “Asian Openbill Stork”.

“Kehadiran spesis migratori ini menunjukkan bahawa Kundang Estates kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan berpotensi untuk menjadi habitat bagi flora dan fauna hidup dengan harmoni,” kata Ketua Pegawai Operasi Gamuda Parks, Khariza Abdul Khalid ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kepelbagaian biologi menarik burung datang mencari makanan.
Kepelbagaian biologi menarik burung datang mencari makanan.

Gamuda Parks telah menjalankan kajian biologi di lima pembangunan utama Gamuda Land sejak ia dilancarkan pada Mei 2018.

Hasil kajian yang telah dijalankan akan digunakan sebagai garis panduan dalam mereka bentuk perbandaran yang menekankan pembinaan mesra alam termasuk peletakan kawasan hijau dan tasik, pemilihan spesis pokok bagi penanaman semula dan pemilihan bahan mentah yang bersesuaian.

Khariza berkata, bagi memastikan perbandaran yang dibina selaras dengan panduan Polisi Biologi Negara, pihaknya bekerjasama dengan Institut Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Wetlands International Malaysia (WIM), yang dilantik sebagai penasihat pengurusan biodiversiti.

Beliau berkata lagi, bagi Kundang Estates, pihaknya mengekalkan aspek semula jadi kawasan itu bagi memastikan kawasan berkenaan kekal indah dengan kepelbagaian spesis flora dan fauna.

Tambahnya lagi, Gamuda Parks telah mengambil beberapa langkah pemuliharaan alam semula jadi dan menjaga kepelbagaian biodiversiti sejak di peringkat awal pembinaan lagi bagi memastikan kawasan berkenaan kekal hijau.

Antara langkah yang diambil ialah dengan menjalankan program perolehan dan penyemaian pokok (Advance Tree Planting) yang setakat ini telah mencecah jumlah 3,221 pokok yang telah ditanam di Kundang Estates, yang mana 80 peratus adalah spesis tempatan.

Selain itu, Gamuda Parks juga melaksanakan program kesedaran alam sekitar, GParks Ranger yang mengutamakan generasi muda berumur 6-12 tahun.

Program itu menganjurkan pelbagai bengkel bertemakan alam sekitar secara percuma untuk kanak-kanak.

Bukan itu saja, ia juga menjadi satu platform bagi mereka untuk menjadi duta yang prihatin dalam melindungi alam sekitar.

Pendaftaran dalam talian dibuka kepada semua yang berminat dan peserta yang berdaftar akan menerima jemputan ekslusif untuk menyertai program GParks Ranger yang akan dianjurkan.

“Bagi mewujudkan kawasan rekreasi yang tampak semula jadi, kami membaik pulih tasik yang sedia ada dan menambah kemudahan seperti laluan pejalan kaki dan basikal, taman permainan, flying fox, trampulin dan pelbagai lagi.

“Dengan adanya landskap semula jadi ini, Kundang Estates telah menjadi tumpuan utama pelbagai jenis flora dan fauna.

“Ini menjadi bukti bagaimana Gamuda Land mengekalkan aspek semula jadi tempat itu, pelbagai spesies flora dan fauna dapat terus berkembang,” kata Khariza.

Kundang Estates mengekalkan aspek semula jadi membolehkan pelbagai spesies flora dan fauna terus hidup.
Kundang Estates mengekalkan aspek semula jadi membolehkan pelbagai spesies flora dan fauna terus hidup.

Menurut Khariza, antara usaha lain yang turut dilaksanakan Gamuda Parks termasuk mewujudkan “Edible Garden” di Kundang Estates, yang mana kebun bersaiz 600 meter persegi itu ditanam dengan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh dituai.

“Edible Garden” itu juga menjadi ruang kesedaran alam sekitar yang boleh digunakan untuk acara komuniti di perbandaran berkenaan.

“Dalam perancangan, kami menyasarkan untuk mengendalikan Bengkel Pendidikan Alam Sekitar untuk memberi kesedaran kepada residen berkenaan dengan cara-cara untuk mewujudkan kebun mereka sendiri dan pada masa yang sama untuk memupuk minat berkebun dalam kalangan kanak-kanak.”

Projek pembangunan perbandaran kediaman butik Kundang Estates yang dilancarkan pada 2016 dibangunkan dalam empat fasa membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM380 juta.

Perbandaran kediaman butik itu dilengkapi tiga taman unik iaitu Lakeside Gardens, Community Gardens dan The Esplanade, yang mana setiap satunya menawarkan pengalaman berbeza kepada penghuni untuk beristirehat, bermain dan menikmati aktiviti luar rumah.

Dengan lokasi strategik di titik pertemuan tiga lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Kundang Estates memiliki kelebihan untuk dijadikan kawasan kediaman unggul yang membolehkan pemanduan pantas dan mudah dari Kuala Lumpur.

Lokasinya yang terletak berdekatan stesen KTM Kuang dan MRT Sungai Buloh meningkatkan lagi perhubungan bukan saja dengan pusat bandar, malah dengan rangkaian pengangkutan di seluruh negara.

Dikelilingi suasana menghijau, Kundang Estates menawarkan kehidupan desa yang tenang dan tidak jauh dari bandar raya.

Kundang Estates menawarkan suatu penyelesaian sempurna bukan saja bagi penduduk tempatan, tetapi juga bagi penghuni bandar raya yang ingin mengelakkan diri daripada kesibukan kota.

Berita Harian X