X
Sabtu, 14 March 2020 | 5:09pm

Ejen hartanah haram diserbu

KUALA LUMPUR: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menghargai dan memberikan sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) atas serbuan yang dilakukan baru-baru ini ke atas sebuah syarikat yang didakwa menjalankan perniagaan agensi hartanah yang tidak sah.

Presiden MIEA, Lim Boon Ping, berkata bentuk tindakan sedemikian diperlukan dan institut itu berharap LPEPH mengambil langkah yang ketat berikutan terdapat ribuan perniagaan dan ejen hartanah lain yang disyaki tidak sah di seluruh negara.

“Terdapat individu dan syarikat pemasaran projek yang tidak sah dan bertindak sebagai broker haram dalam penjualan tanah, mereka yang melakukan urus niaga sewa atas nama menyediakan premium insurans, dan banyak lagi.

“Ia adalah langkah besar oleh bahagian jenayah komersial PDRM untuk bertindak ke atas aktiviti yang menyalahi undang-undang ini dengan menyiasat dan mendakwa mereka di bawah Seksyen 30A dan Seksyen 30 Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai sokongan kepada usaha LPEPH dan PDRM, MIEA turut melancarkan kempen kesedaran awamnya sendiri iaitu #MYREALAGENT untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya menggunakan broker yang tidak sah dan manfaat menggunakan ejen hartanah dan perunding berdaftar yang profesional, terlatih dan mahir.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.myrealagents.com atau di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram @MYREALAGENTS. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X