X
Rabu, 19 Februari 2020 | 8:52pm
MAH Sing Group Bhd
MAH Sing Group Bhd

Mah Sing lancar kempen 'Eazy To Own'

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd melancarkan kempen jualan ‘Eazy To Own’ yang merangkumi projek kediaman baharu dan sudah siap di seluruh negara.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata kempen itu menawarkan akses mudah dengan kos pendahuluan yang rendah, ketenangan fikiran dengan mengunci harga semasa, kemampuan melalui insentif dan penjimatan kepada pembeli yang mahu memiliki rumah yang ideal.

Kempen itu direka bagi menangani keperluan empat demografi utama dengan tumpuan yang spesifik.

Kumpulan pertama adalah golongan yang mahu membeli tetapi tidak mampu membayar pendahuluan yang tinggi.

“Golongan ini terdiri daripada belia dalam lingkungan usia 25-40 tahun yang membentuk tiga juta penduduk di seluruh Malaysia. Mereka bekerja di pusat bandar tetapi tinggal di pinggir bandar kerana masalah kemampuan.

“Kumpulan kedua terdiri daripada orang yang sedang menyewa. Ini terdiri daripada golongan pekerja berpendapatan rendah sehingga kumpulan profesional yang sentiasa bergerak, trend ini juga sedang menjurus ke arah golongan yang lebih muda iaitu daripada 25 sehingga 35 tahun,” katanya.

Demografi utama ketiga adalah mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan.

Kempen itu akan menyasarkan segmen B40 sehingga M40 yang lebih rendah, terutama yang berumur antara 30 dan 45, dengan pendapatan isi rumah mencecah RM6,000 sebulan.

Kumpulan keempat terdiri daripada pembeli rumah pertama yang lahir pada zaman milenium, moden dan berpendidikan dengan pendapatan individu sebanyak RM8,000 dan ke bawah.

Sementara itu, Mah Sing menyasarkan jualan sebanyak RM1.6 billion untuk 2020, dengan tumpuan utama kepada segmen perumahan mampu milik, memandangkan 84 peratus daripada sasaran jualan tahunannya adalah hartanah kediaman yang berharga di bawah RM700,000.

“Tinjauan dalaman kami mendapati kebimbangan utama pembeli adalah harga, kemampuan, lokasi dan reka bentuk yang kreatif atau praktikal.

“Oleh itu, kempen jualan kami ini menjadi maklum balas kepada kehendak pembeli, selaras dengan strategi pertumbuhan kami sebagai pemaju yang didorong oleh pasaran, yang mampu menjadi fleksibel dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam pasaran,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X