Rabu, 18 Disember 2019 | 3:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (empat dari kiri) pada majlis perasmian galeri jualan M Luna. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (empat dari kiri) pada majlis perasmian galeri jualan M Luna. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Mah Sing lancar projek M Luna

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) melancarkan projek pembangunan terbaharunya, M Luna yang merangkumi dua menara unit kediaman setinggi 57 tingkat.

Dengan harga permulaan dari RM385,000, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM705 juta itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada bakal pembeli berikutan lokasinya yang strategik bersebelahan Taman Metropolitan Kepong.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, berkata sebagai pemaju yang bertanggungjawab, pihaknya sentiasa mengutamakan pelanggannya dalam semua projek pembangunan yang dikendalikannya.

Beliau berkata, pihaknya memahami keperluan dan kehendak bakal pembeli rumah dan dengan perancangan yang teliti dan menyeluruh, M Luna direka dengan dua hingga empat bilik tidur pada harga mampu milik.

“Dengan penetapan harga yang strategik disokong oleh kemudahan menarik yang disediakan, M Luna menyasar pembeli daripada golongan pembeli rumah pertama, pembeli yang mahu menaiktaraf rumah, profesional bekerja dan juga pasangan muda.

“Justeru, kami yakin M Luna akan diterima baik dalam pasaran malah sehingga kini, kami menerima jumlah pendaftaran yang amat memberangsangkan bagi hartanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran pembukaan galeri jualan M Luna, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai serta Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng. Hadir sama, Ketua Operasi Mah Sing, Yeoh Chee Beng dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Steven Ng.

M Luna yang dibangunkan di atas tapak seluas 2.21 hektar di Kepong dan ia dikelilingi oleh kawasan kejiranan yang sudah matang seperti Selayang, Segambut dan Sentul.

Sementara itu, mengulas mengenai unjuran hartanah untuk tahun depan, Hon Sang berkata pihaknya kini memberi tumpuan kepada pelan perniagaan berteraskan pembangunan hartanah dengan harga mampu milik.

“Ini kerana, majoriti pembeli rumah pertama mampu membeli rumah pada harga ini dan kami akan meneruskan aliran seumpama ini untuk tahun depan,” katanya.

Berita Harian X