Rabu, 4 Disember 2019 | 6:31pm
Forum media Allianz Malaysia-SPEEDHOME, platform penyewaan hartanah perumahan, di Kuala Lumpur, hari ini. - FB Allianz
Forum media Allianz Malaysia-SPEEDHOME, platform penyewaan hartanah perumahan, di Kuala Lumpur, hari ini. - FB Allianz

HOC dijangka raih jualan RM24 bilion

KUALA LUMPUR: Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dijangka mampu mencapai jualan hartanah keseluruhan sebanyak RM24 bilion sehingga akhir tahun ini.

Kempen berkenaan yang dilancarkan sejak Januari lalu berjaya membantu meningkatkan jualan hartanah meskipun berdepan pasaran agak perlahan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata sepanjang tempoh Januari sehingga November lalu, HOC merekodkan jualan hartanah berjumlah RM21 bilion.

"Ia membabitkan penjualan lebih 28,000 unit hartanah pelbagai kategori. Kebanyakan kediaman bertanah menjadi pilihan di kawasan bandar kecil, manakala kediaman bertingkat menjadi pilihan penduduk di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di forum media Allianz Malaysia-SPEEDHOME, platform penyewaan hartanah perumahan, di sini, hari ini.

HOC yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya berakhir pada Jun lalu, namun dilanjutkan sehingga Disember bagi membuka lebih ruang agar ramai pembeli memiliki kediaman sendiri.

Ia sekali gus membantu industri perumahan negara kembali berada dalam landasan sebenar.

Sementara itu, mengulas mengenai Akta Sewa Rumah Kediaman (RTA), Heng Choon berkata REHDA sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kumpulan fokus bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pelaksanaan akta itu.

"Cadangan pelaksanaan akta berkenaan adalah sangat baik kerana ia memberi manfaat kepada dua pihak iaitu pemilik rumah dan penyewa.

"Ia mengambil masa bagi mendapatkan maklum balas terbaik sebelum ia dapat dibentangkan di Parlimen" katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan bercadang menggubal sebuah akta khas untuk penyewaan rumah kediaman.

Cadangan berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi bagi merangsang pasaran penyewaan rumah kediaman di negara ini.

Berita Harian X