KUALA LUMPUR: Pembelian rumah oleh warga asing boleh merangsang ekonomi domestik negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerja jika ia dilaksanakan mengikut matlamat yang digariskan kerajaan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar, berkata pada masa ini, trend pembelian oleh warga asing bagi hartanah di Malaysia menunjukkan peningkatan.
“Seperti isu pembeli dari Hong Kong, kita tahu ada ramai dari negara itu yang berminat untuk membeli hartanah di Malaysia dan trend ini mula ditunjukkan sejak tiga bulan lalu.
“Jadi, sekarang ini jika kita boleh mendapatkan pembeli dari luar dan ia akan meningkatkan lebih banyak modal yang boleh dilaburkan semula dalam ekonomi domestik seterusnya dan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Seharusnya kita mengambil peluang berkenaan (menarik pelaburan ke Malaysia) daripada pelabur beralih ke negara lain,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-35 Glomac di sini.
Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata, tidak wujud masalah pemaju akan naikkan harga kediaman berikutan cadangan berkenaan kerana dilaksanakan selama setahun bermula tahun depan.
“Kempen itu hanya dilaksanakan untuk setahun dan akan berakhir pada 2020. Pelaksanaannya juga hanya terpakai bagi unit sudah siap (sedia ada).
“Jadi, jika pembeli tempatan hendak beli, mereka boleh beli,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2020 11 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan langkah pengurangan nilai ambang kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing dan ia hanya terpakai kepada unit sedia ada yang masih tidak terjual dan berkuatkuasa dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020 saja.
Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa depan Glomac, FD Iskandar berkata, kumpulan merancang untuk mempergiatkan pelancaran baharu pada separuh kedua bagi tahun kewangan 2020 (TK20) yang membabitkan rangkaian produk luas dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM903 juta.
Pelancaran itu katanya, akan diteruskan bagi segmen pasaran pertengahan dan mampu milik, manakala projek kediaman bertanah di bandar seperti Saujana Perdana dan Saujana KLIA terus mencatatkan jualan kukuh.