Ahad, 6 Oktober 2019 | 3:58pm
Projek townhouse Kita Bayu

Fasa pertama dan kedua Kita Bayu dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Projek hartanah LBS Bina Group Bhd (LBS), Kita Bayu fasa pertama dan kedua mendapat sambutan mengalakkan dengan angka jualan melebihi 95 peratus sehingga September 2019.

Kita Bayu yang dilancarkan pada November 2018 adalah sebahagian daripada pembangunan yang ditawarkan di perbandaran baru, Kita @ Cybersouth dengan keluasan 633 ekar (256 hektar) di atas tanah rizab Melayu.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata projek perbandaran terbaharu dengan harga berpatutan itu memenuhi permintaan untuk perumahan mampu milik yang kian meningkat, serta menyokong agenda perumahan negara.

“Ia pencapaian kepada LBS. Dibina berdasarkan kemampuan milikan, perhubungan dan komuniti, perbandaran yang lestari ini akan memenuhi permintaan pembeli rumah moden yang semakin meningkat untuk rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

“Perumahan ini direka dengan teliti untuk memenuhi kehidupan yang praktikal dan selesa. Ia juga lengkap dengan pelbagai kemudahan dan kawasan komunal untuk menjalin silaturahim di antara penduduk serta membina komuniti yang ceria.

“LBS percaya terhadap strategi penawaran aktif, di mana lebih banyak produk berkualiti yang memenuhi permintaan pasaran akan menyumbang kepada momentum pertumbuhan untuk mencapai hasil penjualan sasaran sebanyak RM1.5 bilion pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Hock San berkata, ketika ini berlaku perkembangan pesat di Dengkil kerana kawasan berkenaan mendapat manfaat daripada pertumbuhan sosioekonomi di koridor selatan Lembah Klang.

Lantaran itu katanya, Dengkil akan menjadi titik utama seterusnya untuk pembangunan hartanah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan fasa awal itu mendorong pelancaran fasa baru, Kita Harmoni merangkumi 674 unit rumah teres dua tingkat dengan harga bermula daripada RM570,000.

“Dengan harga berpatutan, ketersambungan yang baik serta persekitaran mampan yang menggalakkan hubungan kekeluargaan, Kita Harmoni dijangka akan menerima sambutan yang sama hangat dari pasaran.

“LBS turut memperkenalkan Kita Impian di perbandaran baru Kita @ Cybersouth yang menawarkan 964 unit pangsapuri servis berharga daripada RM250,000,” katanya.

Berita Harian X