Rabu, 2 Oktober 2019 | 5:05pm
Duta Khas Malaysia Ke China, Tan Kok Wai (tiga dari kiri); dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum (empat dari kiri) melihat projek M Oscar di Kuala Lumpur, hari ini.

Mah Sing saran tempoh pembiayaan rumah dipanjangkan

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd berharap kerajaan dapat memanjangkan tempoh pembiayaan dari 35 tahun ketika ini kepada 45 tahun bagi membolehkan pembeli menikmati ansuran pinjaman lebih rendah.

Pengarah Eksekutif Pelaburan dan Korporatnya, Datuk Steven Ng Poh Seng, berkata selain itu Mah Sing juga berharap nisbah pembayaran hutang dapat ditingkatkan daripada 60 peratus ketika ini kepada 70 hingga 80 peratus untuk pembeli rumah pertama.

Katanya, pada kempen pemilikan rumah (HOC) yang kali pertama dianjurkan pada 1999, kerajaan bukan saja menawarkan pengecualian kepada setem duti, malahan bank turut mengurangkan kadar pinjaman.

“Justeru, kami mengharapkan kali ini, kerajaan dapat membenarkan bank untuk mengenakan kadar faedah yang lebih rendah kepada pembeli rumah pertama.

“Memandangkan bank sentiasa membuat keuntungan, mengapa tidak meminta mereka supaya jangan mengenakan caj tinggi kepada pembeli rumah pertama. Kami tidak meminta ia dilaksanakan untuk semua orang.

“Selain itu, kos pematuhan yang amat tinggi dikenakan kepada pemaju turut menyukarkan kami untuk membina dan menjual rumah mampu milik. Kerajaan juga diharap dapat menyeragamkan syarat harga jualan kepada pembeli asing yang ketika ini berbeza-beza di setiap negeri,” katanya selepas majlis pelancaran galeri jualan projek pembangunan M Oscar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya harapan Mah Sing Group terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan minggu depan.

Pelancaran galeri jualan itu disempurnakan Duta Khas Malaysia Ke China, Tan Kok Wai.

Hadir sama ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum.

M Oscar adalah projek pembangunan apartmen dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

Ia dibangunkan di atas tanah seluas 1.83 hektar dan mempunyai dua blok bangunan masing-masing setinggi 32 tingkat dan 31 tingkat yang mengandungi 910 unit kediaman.

Projek menawarkan empat jenis unit iaitu masing-masing dengan keluasan 708 kaki persegi (kps) memgandungi dua bilik tidur dan dua bilik air; 895 kps (tiga bilik tidur dan dua bilik air); 1,096 kps (empat bilik tidur dan dua bilik air) serta 1,198 kps yang mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air.

M Oscar menawarkan pelbagai kemudahan kepada penghuni termasuk kolam renang sepanjang 50 meter, taman permainan, pavilion BBQ, gimnasium, trek joging, jakuzi dan kebun bandar.

Harga bermula daripada RM428,000 seunit dan tempahan boleh dibuat bermula Sabtu ini di galeri jualan.

Berita Harian X