Selasa, 1 Oktober 2019 | 5:01pm
NAZA TTDI Sdn Bhd

Ascott rakan strategik baharu KL Metropolis

KUALA LUMPUR: Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI) memeterai perkongsian strategik dengan The Ascott Ltd (Ascott) bagi mengukuhkan lagi KL Metropolis sebagai kawasan kejiranan Kuala Lumpur paling berprestij.

Ascott, anak syarikat CapitaLand yang berpangkalan di Singapura, adalah pengendali dan pemilik kediaman servis terkemuka di peringkat global.

Hasil kerjasama itu adalah Somerset KL Metropolis, yang bakal menjadi kediaman berjenama pertama di KL Metropolis, yang mana kediaman servis itu akan diuruskan pasukan Ascott apabila ia siap sepenuhnya pada 2022.

“Kami percaya perkongsian ini akan menambah nilai kepada pihak berkepentingan bagi kedua-dua syarikat; tempatan dan antarabangsa.

“Kami memilih untuk bekerja dengan Ascott kerana kekukuhan jenama dan perkhidmatannya di peringkat global," kata Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama strategik itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Serantau, Malaysia, Singapura dan Indonesia, Ascott International Management, Ervin Yeo; dan Pengarah Kanan Projek Naza TTDI, Khoo Thian Shyang.

Somerset KL Metropolis, pangsapuri perkhidmatan premium yang menawarkan 262 unit kediaman, adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu di bahagian MET 1 di KL Metropolis.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM333 juta, Somerset KL Metropolis menyediakan tiga jenis reka bentuk suite yang menawarkan kawasan binaan 549 kaki persegi, 847 kaki persegi, dan 968 kaki persegi.

SM Faliq berkata, KL Metropolis yang terletak di lokasi elit lagi strategik berhampiran Jalan Tunku Abdul Halim, dijangka memainkan peranan penting sebagai pertumbuhan utama dalam sektor pelancongan perniagaan, terutama di Lembah Klang.

Beliau berkata, pelan induk KL Metropolis direka dengan memberi penekanan kepada aset terbesarnya, iaitu landskap hijau yang mewah dengan kafe, laluan basikal, landskap imaginatif dan tarikan kebudayaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Naza TTDI sudah mengenalpasti beberapa rakan strategik baharu dari dalam dan luar negara bagi memantap dan mempelbagaikan lagi penawaran di KL Metropolis.

Bertujuan menjadi destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) paling komprehensif, KL Metropolis adalah pembangunan bercampur seluas 30.6 hektar dengan GDV RM20 bilion.

Berita Harian X