Khamis, 26 September 2019 | 3:30pm
PENGARAH Strategi dan Operasi Mah Sing, Rachel Leong (kanan) dan Ketua Eksekutif yang juga Pengasas Bersama RinggitPlus.com, Hann Liew pada majlis pelancaran sistem ‘chatbot’ Madam Loan. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

Madam Loan inisiatif Mah Sing bantu pembeli rumah

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group (Mah Sing) dengan kerjasama RinggitPlus melancarkan ‘chatbot’ yang dijana oleh kepintaran buatan, dikenali sebagai Madam Loan.

Madam Loan adalah platform pendidikan yang ditubuhkan untuk membantu proses berkaitan dengan permohonan pinjaman perumahan, yang mana bakal pembeli rumah boleh mendapat jawapan mengenai soalan berkenaan pinjaman rumah.

Selain itu, bakal pembeli juga boleh memohon pinjaman perumahan mereka pada bila-bila masa menerusi Madam Loan.

Pengarah Strategi dan Operasi Mah Sing, Rachel Leong, berkata dengan adanya platform Madam Loan, syarikat itu boleh menggalakkan pelanggan berhubung dengan Mah Sing dalam cara yang mereka mahukan.

“Madam Loan menawarkan perkhidmatan khusus, yang mana ia akan memaparkan produk hartanah Mah Sing kepada pengguna selepas menilai situasi kewangan mereka.

“Pelanggan juga boleh menggunakan Madam Loan untuk memohon pembiayaan gadai janji daripada empat bank yang terbabit pada masa ini.

“Madam Loan akan memberitahu anggaran jumlah pembiayaan yang perlu dimohon daripada bank dan kelayakan pengguna membuat pinjaman berkenaan berdasarkan had nisbah khidmat hutang (DSR),” katanya pada majlis pelancaran platform berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif yang juga Pengasas Bersama RinggitPlus.com, Hann Liew.

Madam Loan diperkenalkan bagi membantu pembeli rumah pertama yang selalunya tidak mempunyai pengalaman luas dalam proses pembelian rumah.

Sementara itu, Liew berkata gabungan pengalaman 25 tahun Mah Sing dalam bidang pembangunan hartanah dengan kepakaran teknologi dan perbankan yang ada pada pihaknya, kerjasama itu mampu menyediakan keselesaan kepada bakal pembeli.

“Kami percaya Madam Loan boleh membantu kebanyakan pembeli terutama pembeli rumah baharu untuk membeli rumah idaman mereka,” katanya.

Berita Harian X