Selasa, 23 Julai 2019 | 4:33pm

Mah Sing beli tanah 2.21 hektar

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd memperoleh 2.21 hektar tanah utama berhampiran Kepong Metropolitan Park, Selangor bernilai RM94.8 juta, untuk pembangunan pangsapuri perkhidmatan mampu milik, M Luna.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata tanah itu diperoleh dengan kebenaran pembangunan pangsapuri perkhidmatan dan projek itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM705 juta.

M Luna akan dilengkapi dua blok pangsapuri perkhidmatan dengan keluasan bangunan bermula 700 kaki persegi dan harga bermula daripada RM385,000 seunit.

“Perolehan itu akan meningkatkan simpanan tanah utama kumpulan kepada 851.46 hektar, dengan jumlah keseluruhan GDV dan bil-bil yang belum dikutip sebanyak RM25.84 bilion, cukup untuk mengekalkan pertumbuhan dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun akan datang,” kata pemaju perumahan itu.

Baru-baru ini, kumpulan itu juga memperoleh 1.87 hektar tanah untuk pembangunan M Oscar, satu lagi pangsapuri perkhidmatan terletak di Kuchai Lama.

Lembaran imbangan kumpulan itu sebanyak RM1.3 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019, didorong oleh strategi utamanya dalam menambah simpanan tanah, khususnya di Lembah Klang. - BERNAMA

Berita Harian X