Isnin, 15 Julai 2019 | 6:56pm
Khoo (tengah) menerima anugerah Pemaju Bangunan dan Pembinaan Asia (BCI Asia) 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Khoo Soon Lee Realty dinobat 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

Penghasilan projek berkualiti tinggi dan memenuhi pasaran antara faktor kejayaan pemaju hartanah, Khoo Soon Lee Realty Sdn Bhd untuk diiktiraf sebagai 10 Pemaju Hartanah Terbaik di Malaysia, tahun ini.

Anak syarikat KSL Holdings Bhd itu menerima pengiktirafan berkenaan untuk kali ketiga bagi anugerah Pemaju Bangunan dan Pembinaan Asia (BCI Asia) 2019, yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah berprestij dalam kalangan pemaju hartanah itu turut memberi pengiktirafan kepada pemaju hartanah dari negara Asia lain termasuk Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Manila, dan Thailand.

Antara dua projek yang dinilai oleh BCI Asia adalah pusat membeli belah KSL Esplanade yang terletak di Bandar Bestari Klang dan KSL 18 Madge, iaitu sebuah kondominium mewah yang bertempat di Jalan Madge Kuala Lumpur.

Pengarah Projek, Patrick Khoo dalam satu kenyataan berkata, anugerah yang diterima itu adalah satu penghormatan kepada KSL Holdings dan anak syarikat di bawahnya.

“Ia menandakan komitmen berterusan kami dalam menghasilkan projek berkualiti tinggi selain memenuhi keperluan dan kehendak pasaran masa kini.

“Kejayaan hari ini adalah hasil kerjasama dan sokongan daripada warga kerja yang sentiasa membantu dalam merealisasikan visi dan misi syarikat,” katanya.

Pusat membeli belah KSL Esplanade adalah salah satu cabang dalam pembangunan integrasi diilhamkan oleh KSL Holdings yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM600 juta.

Projek itu mampu menjadi “catalyst” atau pemangkin utama dalam mentransformasikan Klang Selatan sebagai salah satu bandar tertumpu di Klang.

Selain itu, perbandaran Bandar Bestari turut menampilkan projek rumah tanah berkembar, apartmen servis serta projek pembangunan komersial yang dibangunkan di atas tanah seluas 181.3 hektar.

Manakala, Projek KSL 18 Madge di lokasi ekslusif berhampiran Jalan Madge Kuala Lumpur adalah projek lain yang menerima merit terbaik daripada panel juri BCI Asia.

Berita Harian X